Hadiah Banglo, Chalet Buat Yang Tersayang, Tahniah Black Hanifah!

Penyanyi, Black Hanifah ‘menghadiahkan’ sebuah rumah banglo dan tiga buah chalet berharga hampir RM200,000 buat kedua ibu bapanya di Baling, Kedah.

Black berkata rumah dan chalet dikenali D’Sawah Chalet dibina atas tanah milik bapanya selepas kedua ibu bapanya mengambil keputusan mahu menghabiskan kehidupan mereka di kampung.

“Pada awalnya, mereka menetap di rumah yang sudah saya belikan di Cheras. Tapi selepas lebih lapan tahun, mereka ambil keputusan mahu ‘settle down’ di kampung pula.

“Kebetulan ayah ada tanah di sana dan pembinaan bermula beberapa bulan lalu dan siap sepenuhnya pada hujung Ramadan baru-baru ini.

“Sebelum itu, saya juga membina tiga chalet yang berhadapan dengan sawah padi dan menjadi sumber pendapatan mak dan ayah di kampung. Pembinaan chalet ini sejak dua tahun lalu dan sudah pun beroperasi,” katanya.

Black akui sedari awal pembabitan dalam bidang seni, dia ingin membahagiakan kedua ibu bapa kerana percaya rezeki yang diperoleh selama ini berkat doa mereka.

“Saya bersyukur dengan nikmat dan rezeki diterima. Lagi pun tak ada rugi pun jika berbakti kepada kedua ibu bapa,” katanya.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida