Categories: HiburanTrending

Hadiahkan Barangan Peribadi Untuk Peminat, Konsert Wings The Rock Emperor Bakal Gegarkan Pulau Pinang 24 Februari Ini!

Setelah berjaya menawan Singapura dan Shah Alam, kini Wings bakal menggegarkan negeri Pulau Pinang pula sebagai destinasi Konsert The Rock Emperor.

Kali ini Dato; Awie (vokal), Eddie (bass), Black (drum), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) akan menghangatkan SPICE Arena Penang menerusi Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter yang akan berlangsung pada jam 9 malam, 24 Februari nanti.

Terdahulu, konsert Wings di Stadium Malawati pada 16 Disember lalu yang mencatat sejarah tersendiri dengan kehadiran lebih 9,000 peminat tegar mereka.

Penonton yang hadir rata-rata memuji kehebatan kumpulan yang sudah bertapak hampir empat dekad dalam industri muzik tanah air dan sukar dicari ganti ini.

Ramai juga yang masih belum ‘move on’ dari keterujaan menyaksikan kehebatan vokal Dato’ Awie yang masih hebat menyanyikan lagu-lagu popular Wings menerusi konsert mega lebih tiga jam itu.

Menariknya, Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter kali ini buat julung kalinya akan mengetengahkan satu konsep baharu iaitu Tonton, Gores & Menang kepada penonton.

“Untuk setiap tiket, kita akan buat satu Gores dan dalam Gores itu ada hadiah-hadiah tertentu yang akan dimenangi oleh penonton bertuah.

“Terdapat lebih 700 barangan akan diberikan kepada pembeli tiket Konsert Rock Emperor. la merangkumi semua pembeli dari tiket berharga RM95 sehingga lebih RM300.

“Barangan untuk dimenangi itu termasuk prelove barangan Wings terpakai yang akan kita hadiahkan kepada pemenang-pemenang,” kata Awie, vokalis Wings.

Walaupun keseluruhan peminat berpuas hati dengan apa yang ditampilkan dalam dua konsert terdahulu, Dato’ Awie tetap akan melakukan perubahan dalam persembahan.

“Insya-Allah kita akan cuba perbaiki apa sahaja kelemahan-kelemahan yang ada sebelum ini. Wings akan buat lagi bagus.

“Dah tentu konsert ini tidak akan sama seperti yang berlaku di Shah Alam. Kita akan ubah sikit repertoire dan juga persembahan serta akan jadikan intronya lebih menarik di Pulau Pinang.

“Lokasinya tidak terlalu besar sangat. Untuk itu, kami akan sesuaikan persembahan dengan tempat itu,” ujarnya.

Sementara itu Hot FM dan KOOL 101 dipilih sebagai Radio Rasmi Konsert Wings The Rock Emperor Penang Chapter, manakala Xtra pula dipilih sebagai Rakan Media Digital Rasmi.

Tiket untuk menonton boleh didapati di https://wings.ubertickets.asia.

Syamir Shafie