Hafidz Roshdi Dedah Derita Penyakit Bipolar, Kena Makan Ubat & Terima Rawatan Sejak 3 Tahun Lalu?

Pelakon Hafidz Roshdi mendedahkan dirinya menderita penyakit gangguan bipolar dan sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam sejak tiga tahun lalu.

Memetik laporan mStar, selain menerima rawatan, Hafidz juga terpaksa mengambil ubat seperti dinasihatkan doktor.

“Saya sudah rujuk dengan pihak hospital untuk masalah kesihatan mental saya iaitu bipolar sejak tiga tahun lalu.

“Saya perlu dapatkan rawatan dan preskripsi ubat selain perlu melakukan pemeriksaan kestabilan hormon… Alhamdulillah kesihatan saya okey sekarang,” katanya.

Sementara itu, Hafidz memberitahu masalah kesihatannya bagaimanapun tidak menganggu urusan harian termasuk karier sebagai pelakon.

“Aktiviti seni masih berjalan seperti biasa. Ada tawaran yang masuk tapi kebanyakannya masa pula tidak mengizinkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai tuduhan mencederakan bekas isteri iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri, Hafidz menyerahkan sepenuhnya kepada pihak mahkamah berhubung kes tersebut.

Mahkamah menetapkan 6 dan 7 Februari 2024 sebagai tarikh perbicaraan kes berkenaan.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Selangor.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Mac dan Shuhada terpaksa menerima 10 jahitan pada wajahnya dan menyebabkan parut kekal.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 namun mereka sah bercerai pada 27 Julai lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3 tahun.

Maya Basir