Hanya Mahu Kekal Relevan, Faezah Elai Pilih Utamakan Anak-Anak Berbanding Kerjaya

Pelakon Faezah Elai mengakui dia kini kurang aktif berlakon demi menjaga anak-anak.

Menurut Faezah, dia hanya mahu kekal relevan meskipun jarang muncul di kaca televisyen.

“Sebenarnya, saya masih aktif berlakon tapi dengan produksi suami. Tak bolehlah macam dulu kerap sangat keluar takut orang menyampah pula tengok.

“Biar sekali sekala yang penting bila berlakon tu kita bagi impak. Saya hanya nak kekal relevan dalam industri tapi nak macam dulu balik tu tak boleh dah sebab ada anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Faezah turut giat menjalankan perniagaannya biarpun perlu membesarkan anak-anaknya sepenuh masa.

“Perniagaan saya setakat ini Alhamdulillah, dah 10 atau 11 tahun dah. Kalau tanya saya, apa pun sebenarnya keutamaan saya pada anak-anak sebab saya kena besarkan mereka sendiri. Saya suri rumah dan ibu sepenuh masa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faezah turut menyatakan hubungannya bersama anak-anak tirinya sangat baik dan tidak mempunyai sebarang masalah dalam membesarkan mereka.

Faezah bagaimanapun tegas menyatakan anak-anak punca utama dirinya kurang aktif dalam dunia lakonan kerana ingin fokus membesarkan mereka.

“Bila saya jaga anak tiri saya, itu antara saya dengan dia. Tiada istilah untuk saya cuba jelaskan pada orang.

“Mereka semua dah besar dah sekarang, bila saya jelaskan tu ada yang tak faham. Kalau kata saya ada masalah menjaga mereka takkan mereka tinggal dengan saya.

“Semua dah besar dan tinggal dengan saya. Yang dah besar anak tiri saya. Anak saya yang sebenar kecil lagi. Perhatian dia lain macam sikit.

“Saya memang selalu kena ada dengan diorang. Zaman sekarang tak macam dulu. Benda macam tu yang buat saya rasa macam nanti-nantilah,” katanya.

Sekadar info, Faezah mempunyai tiga anak tiri hasil perkahwinan suaminya, Heykal Hanifah iaitu Luqman Hakim, Sarah, Luq Adam.

Faezah dan Heykal telah mendirikan rumah tangga pada September 2011.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Dealova Heyrinna dan Aurora Heyrinna.

Sumber: Melodi TV3

Fatin Nurain