“Hari-Hari Tanya ‘New Papa’…” – Lufya Akui Masih Belum Terbuka Hati

Setelah dua tahun bergelar sebagai ibu tunggal, pelakon Lufya Omar mengakui masih belum bersedia untuk mencari pengganti teman hidup yang baru.

Lufya turut memaklumkan bahawa kini dia menjalani kehidupan yang bahagia bersama anak perempuannya, Laana Haura, dan lebih memfokuskan kepada perniagaannya.

Memetik daripada laporan mStar, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar memberitahu yang dia tidak trauma dengan perkahwinan yang gagal dahulu, malah anaknya itu menggalakkan dirinya untuk berkahwin.

“Saya belum terbuka hati… bukan sebab trauma. Tapi sebab saya rasa kehidupan sekarang lebih bahagia. Sebab saya ada bisnes bakeri dan sibuk dengan perniagaan itu.

“Tambahan pula, saya gembira jalani kehidupan bersama anak saya. Disebabkan seronok bersama anak dan sibuk berniaga, saya tak rasa pun kesunyian.

“Ikutkan anak memang galakkan saya berkahwin… hari-hari tanya bila nak cari ‘new papa’. Apa-apa pun saya berserah pada Allah. Doa yang terbaik untuk kehidupan saya.” ujarnya kepada mStar.

Sebelum ini, Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan Che Muhammad Hafiz Che Baharum pada November 2016. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Laana Haura, 4.

Walaubagaimanapun, perkahwinan tersebut hanya bertahan selama lima tahun selepas mereka mengambil keputusan untuk berpisah pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.

Sumber: mStar

Atiqah Johari