Hati Berbolak Balik, Linda Hashim & Beego Tak Jadi Cerai Berkat Bulan Ramadan

Teka-teki mengenai pasangan selebriti yang hadir ke mahkamah untuk fail cerai terjawab iaitu pasangan pelakon Linda Hashim dan suaminya, Beego.

Memetik laporan Harian Metro, mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu namun rujuk semula ketika dalam edah pada 9 April lalu.

Pagi ini, pasangan ini dilihat hadir bersama ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak selepas mereka rujuk semula.

Menurutnya, perceraian bukan perkara yang main-main dan berkat bulan Ramadan menyatukan mereka semula.

“Saya pun tak nak main-main benda ini (cerai). Tak ada siapa pun nak inginkan perceraian. Saya pun tak tahu hati berbolak-balik.

“Sebelum bercerai, kita pun dah ada kata putus sendiri sebenarnya. Tapi, saya terus berdoa, solat hajat sebab nak terbaik untuk kita dan diri masing-masing.

“Alhamdulillah, kuasa Allah pada bulan puasa pula dan doa memang mudah dimakbulkan. Lagi pula, setiap malam kita berdoa. Jadi, memang nampaklah ini semua jalan Allah, takdir Allah itu memang cantik.

“Dia bolak-balikkan hati kami dan dapat berbaik semula pada bulan yang baik (Ramadan). Jadi, benda ini memang keajaibanlah. Benda ini (jodoh) memang kerja Allah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Baru Pasangan Selebriti Hadir Mahkamah Untuk Bercerai?

Pada masa sama, dia dan Beego juga mengambil pendekatan duduk berbincang berdua untuk memahami hati masing-masing bersama anak-anak juga.

Malah, perbincangan mereka langsung tidak membabitkan orang lain termasuk keluarga.

“Saya mengetepikan semua orang di sekeliling dan menyelesaikan masalah secara kami berdua saja. Ia penting kerana dalam hal membabitkan rumah tangga ini sebenarnya hanya kita suami dan isteri saja yang tahu.

“Jadi, kalau nak buat keputusan itu biar antara kita berdua saja demi diri masing-masing, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak memang menjadi kekuatan kami. Insya-Allah, kami harap ikatan yang disambung ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Saya buang ego diri dan betul-betul bersihkan hati dengan bermuhasabah diri untuk perkahwinan ini. Saya dan Beego, berjanji akan memperbaiki kelemahan diri kami demi ikatan perhubungan ini dan anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Maya Basir