Beli Rumah Jutaan Ringgit, Nabila Razali Akui Tahan Nafsu Berbelanja

Penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali akhirnya boleh menarik nafas lega apabila impiannya untuk memiliki rumah kediaman sendiri termakbul pada usia  31 tahun.

Nabila atau lebih mesra dengan panggilan Bella memaklumkan, pencapaiannya itu adalah berkat dan usahanya dalam menyimpan hasil titik peluhnya setelah bergelar anak seni sejak 10 tahun yang lalu.

Malah, sikapnya yang sentiasa berjimat cermat termasuklah menahan nafsu dari berbelanja perkara yang tidak berfaedah membolehkan dia memiliki kediaman teres berkembar yang terletak di Rawang, Selangor.

“Alhamdulillah, berkat menyimpan dan cermat hasil bergelar anak seni. Hasilnya dapat lah beli rumah sendiri. Syukur segalanya dipermudahkan.

“Sebenarnya saya fikir mungkin lambat lagi nak miliki rumah, tapi disebabkan banyak menahan nafsu berbelanja dan menyimpan wang syukur akhirnya segalanya dipermudahkan,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali berkongsi, keputusan untuk menetap di rumah sendiri juga disokong oleh kedua ibu bapanya.

“Ibu sering berpesan untuk saya belajar hidup sendiri dan berdikari. Ditambah pula dengan usia yang semakin meningkat jadi memang wajarlah untuk uruskan semuanya sendiri.

“Lagipun, rumah ibu bapa saya tidak jauh dan mereka juga selalu datang ke sini,” jelasnya.

Selain itu, pelantun lagu Peluang Kedua ini memaklumkan, kediaman yang dianggarkan berjumlah jutaan ringgit itu turut menerima sentuhan peribadinya termasuklah dari segi konsep dan ubah suai rumah tersebut.

 

Sumber: mStar

Salma Syahbuddin