Categories: HiburanTrending

#HelloPadin: From Underneath Pokok Klapak to AJL 36, Ini Momen Marsha Milan

Menerusi edisi pertama #HelloPadin, saya akan membicarakan mengenai Marsha Milan. Rasanya masih ramai lagi yang belum move on dengan persembahan ikonik penyanyi itu melantunkan lagu Cinta di Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36).

Buktinya, persembahan live Cinta yang merangkul trofi Persembahan Terbaik dan menyandang gelaran Naib Juara AJL 36 itu masih utuh di tangga nombor satu carta trending YouTube Malaysia serta meraih lebih 3.3 juta tontonan selepas lebih 11 hari anugerah berprestij itu berlangsung.

Usai dua minggu kemuncak AJL 36 berlangsung, impak yang ditinggalkan pelantun Cinta ini masih membekas di hati peminat muzik tanahair. Impactful, itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan skala persembahan ini.

Mengenali Marsha sepanjang hampir 10 tahun karier saya dalam industri seni sebagai penulis, dia seorang artis yang sangat merendah diri.

Tak pernah menyusahkan, malah senang untuk memberi kerjasama serta sering memudahkan kerja orang lain, tak kiralah wartawan, pihak produksi, penganjur acara atau jenama yang berkolaborasi dengan Marsha.

Tak lekang dengan senyuman, pastinya semua orang mudah mesra dengan Marsha yang mempunyai pelbagai bakat ini.

Apa sahaja bidang yang tidak diceburi oleh Marsha? Semuanya dia buat tau! Penyanyi, pelakon, pengacara, mencipta lagu, menulis lirik…

Marsha memang berbakat, tapi rezekinya untuk mengecap populariti sehingga bakat besarnya dikenali ramai masih belum tiba, sehinggalah 6 Mac 2022.

Bagi saya, Marsha adalah bintang yang tak pernah mengenal erti putus asa. Dia seorang pejuang dan contoh anak seni berdedikasi.

Dia mempunyai bakat, dia mempunyai rupa paras yang cantik tetapi dia tak pernah berhenti mencuba. Dia tidak menjadikan wajah jelita atau perkara-perkara pelik sebagai modal untuk popular, dia jarang didengari terpalit dengan kontroversi serta dia sangat mesra dengan peminat serta pemain industri.

Biarpun dijangkiti Covid-19 dan pulih beberapa hari sebelum AJL 36 berlangsung, dia tidak meletakkan noktah atas usaha gigihnya selama lebih 16 tahun.

Tulang belakang yang memacu kerjaya Marsha juga sangat saya kagumi kerana berjaya mengangkat wanita ini di tahap yang sepatutnya.

Bagi saya, inilah momen Marsha. Sensasi dan nilai ‘trending’ yang dia kecapi kini sangat layak dengan usaha gigihnya sepanjang melibatkan diri dalam dunia hiburan.

Bermula dengan kemenangannya di AJL 36, diharap ia menjadi pemacu untuk bakat besar Marsha lebih dikenali oleh seantero nusantara.

Padin