“Allah Dah Tentukan, Maka Itulah Terbaik Untuk Kita” – Faizal Tahir Bersyukur Dikurniakan ‘Anak Syurga’

Penyanyi dan komposer lagu, Faizal Tahir hari ini berkongsi berita mengenai kehadiran cahaya mata ketujuhnya yang dilahirkan pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 44,  mendedahkan anak bongsunya yang diberi nama, Maryam Tahirah itu merupakan ‘anak syurga’ atau anak istimewa, Sindrom down.

Menurut Faizal menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya, tidak timbul rasa ‘down’ atau kecewa apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa anaknya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan.

Malah, dia menerimanya dengan reda dan menyifatkan kehadiran Maryam Tahirah adalah anugerah berharga buat dirinya dan keluarga.

“Salah satu benda baru untuk tahun 2022 ini untuk saya dan keluarga saya adalah, kehadiran anak ketujuh. Alhamdulillah.

“So, anak ketujuh saya nama yang kami pilih adalah Maryam Tahirah. diambil sempenan nama mak Nabi Isa dan nama Tahir itu sempena nama ayah saya, yang saya kehilangan baru-baru ini.

“Maryam ni anak kami yang Allah berikan keistimewaan. Alhamdulillah. Yang sangat-sangat special kepada saya. Dimana, Maryam ni sewaktu kandungan doktor dah dapat kesan dah ada beberapa masalah dan komplikasi. Mula-mula jantung, kemudian disahkan sebagai Tetralogy Of Fallot (TOF).  Campuran darah dan oksigen tak cantik.

“Itu masalah pertama yang doktor dapat kesan. Masa tu dah dapat tahu memang nak kena bedah jantung dia selepas lahir. Jadi kami pun dah kena siap sedia untuk itu, mental, fizikal dan kewangan.

“Beberapa bulan lepas itu, buat pemeriksaan lagi, doktor periksa lagi, dapat tahu ada masalah lain iaitu ‘double bubble’ (Duodenal atresia) dalam perutnya. Apabila doktor kesan benda ini dan dikatakan pula dengan masalah komplikasi jantung tadi, doktor nak beritahu agak berat sehinggalah laporan mengesahkan Maryam menghidap sindrom down,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sampai Syurga ini mengakui ketika diberitahu mengenai perkara tersebut, terdetik di hatinya dia sebenarnya sangat memerlukan anak itu untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik dan bersyukur selain dapat memperbaiki diri sebagai seorang hamba Allah.

Dan, siapa sangka ketika berkongsi mengenai perkara tersebut kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat, semuanya memberikan respon positif sehingga membuatkannya tersentuh kerana dipilih Allah untuk menjaga ‘anak syurga’ ini.

“Benda pertama yang keluar daripada mulut mereka ialah masya-Allah, subhana-Allah, Allah kurniakan kepada kau anak syurga ‘bro’. Masa itu hati saya dengar memang tersentuh.

“Ada juga yang mengatakan tak semua orang dapat, saya insan terpilih untuk diberikan anak yang ‘istimewa’. Alhamdulillah benda ini sangat memberi semangat dan memberi kekuatan kepada saya dan isteri,” jelasnya.

Selain itu, perkongsian Faizal itu turut mendapat respon positif dari rakan-rakan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Nabila Huda dan ramai lagi.

Sekadar info, Faizal mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Siti Raihannim pada 2001 dan pasangan itu kini mempunyai tiga orang anak lelaki dan empat anak perempuan.

Salma Syahbuddin