Hijrah Ke Eropah Demi Masa Depan Anak

“ Selama ini, kerja saya mengajar orang lain. Saya tertanya-tanya, kenapa tidak saya tumpukan perhatian penuh kepada anak istimewa sendiri,” luah komposer dan penyanyi terkenal, Edry Abdul Halim yang bakal berhijrah tak lama lagi.

Kata Edry, penghijrahan dilakukan demi masa depan anak ketiganya, Emery yang menghidap autisme.

“ Demi masa depannya, kami sekeluarga sedia berhijrah, mungkin untuk setahun dua dahulu. Ia membolehkan dia menerima pendidikan terbaik,” kata Edry.

Menurut beliau, rancangan untuk berhijrah sudah dibincangkan dengan seluruh ahli keluarga selepas Emery yang bakal mencecah usia 10 tahun masih belum boleh bertutur dan ia dilakukan untuk membantu perkembangan anaknya itu.

“Saya dan isteri belum putuskan lagi lokasinya, tetapi di Eropah. Bukan tiada pusat pendidikan yang bagus di sini, namun kemudahan untuk kanak-kanak autisme di sana lebih lengkap.

“Sepatutnya kami bertolak bulan depan, sehari selepas Konsert Gergasi KRU 25. Disebabkan puasa dan raya sudah dekat, kami tangguhkan pemergian selepas Aidilfitri,” katanya pada sidang media khas di sini, semalam.

Terdahulu, pada acara sama, KRU yang turut anggotai dua abangnya, Datuk Norman dan Yusry membuat pengumuman untuk membubarkan kumpulan itu secara rasmi pada hari terakhir konsert iaitu 6 Mei ini.

“ Saya sendiri ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga terutama Emery.

“Dari segi bisnes, kami tetap usahakan bersama-sama dengan bantuan teknologi. Segala tugasan penerbitan dan sebagainya akan tetap diteruskan seperti biasa.

“ Terima kasih kepada semua yang menyokong KRU sejak 25 tahun lalu,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

SGMS Faida