‘Hilang Sengat’…Sofi Jikan Ke Penjara!

Pelakon filem KL Gangster, Sofi Jikan ‘hilang sengat’ apabila dipenjara 12 bulan atas pertuduhan menggunakan ganja tahun lalu oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu terhadap Sofi Jikan atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan Sofi Jikan menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Sofi menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara peguam yang mewakilinya, Datuk Haniff Hassan memfailkan rayuan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid. Sepanjang perbicaraan itu, seramai lima saksi pendakwaan dan hanya seorang saksi pembelaan iaitu Sofi sendiri memberikan keterangan.

Pada 13 Februari 2018, Sofi didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 Mei lalu, Sofi diperintah membela diri selepas mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida