Ibnor Riza Ditidurkan, Jalani Pembedahan Pada Bahagian Kepala

Penyanyi era 1980-an, Ibnor Riza dikhabarkan kini ditidurkan untuk menjalani pembedaham pada bahagian kepala kesan dari penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapnya.

Berita duka itu telah diumumkan oleh penyanyi Nizam Laksamana menerusi perkongsian pada Facebook (FB), semalam

Nizam turut mengambil kesempatan memohon agar orang ramai mendoakan segala urusan pembedahan rakan baiknya itu berjalan lancar.

“Kawan-kawan yang dikasihi. Saudara kita, Ibnor Riza ditidurkan bagi tujuan pembedahan di kepala. Ini dibuat bagi mengeluarkan air yang ada di kepala di mana ia beri tekanan dan kesakitan yang amat.

“Menurut isterinya, jam 9 nanti Ibnor akan dibedah. Mohon jasa baik kawan-kawan doakan akan keafiatan, kekuatan dan semoga pembedahan nanti tiada sebarang kesukaran.

“Mudah-mudahan doa kawan-kawan Allah perkenan dan makbulkan. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada saudara kami ini untuk melalui masa yang sangat menyulitkan ini. Kasihanilah dia Ya Allah,” tulisnya.

Terdahulu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah, pada 19 Februari lalu.

Malah, Ibnor juga mempunyai rekod masalah kesihatan lain seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Setakat ini, Ibnor dilaporkan sudah melalui proses kemoterapi sebanyak sembilan kali.

Fatin Nurain