Ibu Michelle Yeoh Dedah Tidak Tahu Tentang Perkahwinan Anak, Harap Adakan Resepsi Di Malaysia – “Mungkin Kejutan Buat Saya…”

Ibu kepada pelakon terkenal kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh iaitu Datin Janet Yeoh mendedahkan tidak mengetahui tentang majlis perkahwinan anaknya yang berlangsung pada Khamis lalu di Geneva, Switzerland.

Memetik laporan The Star, Janet sering menghubungi anaknya itu tetapi tidak pernah memaklumkan tentang perancangan perkahwinan tersebut.

“Anak saya memang sentiasa menghubungi saya tetapi menerusi perbualan dua minggu lalu, dia tidak bercakap mengenai perkara itu (majlis perkahwinannya).

“Mungkin dia sengaja nak berikan kejutan buat saya,” katanya.

Menurut Janet, dia adalah individu yang paling gembira apabila menerima berita perkahwinan itu kerana sudah lama meminta mereka agar segera berkahwin.

“Todt sudah banyak kali melamar dan dia hanya ketawa serta mengatakan seronok setiap kali dilamar. Todt memang terlalu cintakan Michelle,” jelasnya.

Untuk rekod, Todt dan Michelle akhirnya mendirikan rumah tangga selepas 19 tahun bertunang pada 26 Julai 2004.

Berita perkahwinan Michelle dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Jean Todt, 70, tersebar selepas bekas pelumba Formula Satu (F1), Felipe Massa memuat naik hantaran di Instagram pada Jumaat lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Michelle Yeoh Kahwin Selepas 19 Tahun Bertunang

Maya Basir