Categories: Hiburan

ILYS Akhirnya Ditayangkan Di Slot Akasia TV3, Haidar Hasanudin Gementar Tunggu Reaksi Penonton

Pelakon Haidar Hasanudin gementar menanti reaksi penonton terhadap drama bersiri ILYS yang bakal bersiaran di slot Akasia bermula hari ini.

ILYS yang menampilkan MK K-Clique dan Ezzanie Jasny sebagai teraju utama adalah hasil adaptasi novel I Love You Stupid nukilan Melur Jelita dan sudah bersiaran di platform Viu sekitar Julai lalu.

Diarahkan oleh sutradara Eyra Rahman, ILYS terbitan Global Station ini merupakan drama 40 episod kolaborasi antara Rangkaian Televisyen Media Prima dan Viu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tampilkan MK K-Clique, Ezzanie Jasny & Haidar Hasanudin, Rangkaian Televisyen Media Prima & Viu Umum Tontonan Awal Drama Bersiri Eksklusif ‘I Love You, Stupid’

Haidar Hasanudin gementar nantikan reaksi penonton

“Sejujurnya, saya gementar menanti reaksi penonton. Drama ini sudah menemui peminat di Viu dan ia mendapat respons positif. Kali ini, ia bakal menjengah ke kaca televisyen menerusi slot Akasia TV3.

“Sudah pasti saya mengharap penonton yang belum menonton ILYS dapat menyaksikan drama bersiri ini di TV. Saya juga berharap mereka yang selesai menonton juga boleh ‘repeat’ sekali lagi. Saya berdebar tunggu apa kata orang ramai memandangkan ini penampilan sulung saya dalam slot Akasia TV3,” kata pelakon drama bersiri Kampung People 3 ini kepada XTRA.

ILYS drama bersiri adaptasi novel I Love You, Stupid nukilan Melur Jelita

Membawakan watak sebagai Dr. Aidan, Haidar meluahkan rasa bertuah dapat bergandingan dengan ramai bintang berbakat.

“Berlakon dengan MK, Ezzanie dan pelakon hebat lain seperti Fauzi Nawawi, Lisdawati, Ziha Salleh dan ramai lagi adalah pengalaman yang sangat indah.

“Melihat mereka berlakon, saya menimba banyak ilmu sebagai anak seni. Selain itu, saya sangat hormati Eyra Rahman sebagai sutrdara dan apabila dapat sekali lagi berlakon di bawah arahannya, saya sangat teruja.

“Saya berharap peminat dapat menerima persembahan kami ILYS dan semoga karya ini mendapat respons yang baik, Insya-Allah,” katanya.

Jangan lupa saksikan ILYS bermula hari ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam di slot Akasia, TV3!

Padin