“Impian Saya Adalah Untuk Membawa Arwah Ibu…” – Persembahan Penuh Intimate, Rizky Febian Bikin Peminat Galau

Transisi seorang figura anak muda yang mempunyai bakat luar biasa ini bukan sahaja amat dikagumi oleh segelintir artis mahupun selebriti popular Indonesia, bahkan kebolehan menulis dan mencipta karya meletakkan Rizky Febian berada dalam kelasnya tersendiri.

Siapa sangka di sebalik senyuman manis dan sikap yang menyenangkan, Rizky sebenarnya mempunyai impian untuk membawa Allahyarham ibunya, Siti Jubaedah yang menghembuskan nafas terakhir pada 4 Januari 2000 akibat penyakit hipertensi datang dan menyaksikan sendiri konsertnya.

“Impian saya adalah untuk membawa arwah ibu menonton konsert saya.

“Saat itu saya berfokus dengan impian saya, dengan tujuan yang sama iaitu ingin mengangkat darjat orang tua, ingin membahagiakan orang tua.

“Tapi saya menyedari ketika mereka tidak ada, semua ini sia-sia. Semuanya ini menjadi sebuah penyesalan.

“Jadi buat kalian semua, berikan kasih sayang sepenuhnya untuk keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, pemilik riffs and runs yang dikagumi ramai ini tetap bersyukur kerana segala kedukaan yang dirasai dapat diubati dengan kehadiran ayahnya yang juga pelawak dan pelakon terkenal, Entis Sutisna atau lebih dikenali dengan panggilan Kang Sule bersama adik-adiknya dan juga teman wanitanya, Mahalini Raharja.

 

Dibanjiri dengan kehadiran 2,400 peminat dalam konsert sulungnya, Rizky Febian Live In Kuala Lumpur, penyanyi ini menampilkan persembahan yang cukup ‘intimate’ sekaligus mengubat kerinduan peminat terhadap sosok anak muda berusia 24 tahun ini.

Pada malam itu juga, Rizky membawakan 16 buah lagu terbaiknya antaranya Hingga Tua Bersama, Ragu, Mantra Cinta, Kesempurnaan Cinta dan Cuek turut bersyukur dengan penerimaan peminat di Malaysia terhadap karya-karyanya.

“Saya gembira dengan penerimaan peminat terhadap kehadiran saya ke sini. Jujur, saya tidak menyangka tiket konsert habis terjual dalam tempoh satu jam.

“Saya ingin berterima kasih kepada peminat di Malaysia dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik,” jelasnya.

Berkongsi mengenai pemilihan 16 buah lagu yang dibawakan, Rizky berkata, ia melalui proses yang amat panjang kerana harus menitikberatkan permintaan peminat dan tidak hanya ‘syok sendiri’ ketika berada di atas pentas.

“Prosesnya panjang sekali untuk memilih lagu, kerana saya berusaha untuk tidak mahu asyik sendiri bahkan saya tidak mahu ketika perform saya je sendiri yang syok  tapi peminat tidak.

“Jadi saya meminta bantuan dari team RFAS untuk mencari cara bagaimana saya mahu tahu lagu apa yang peminat di Malaysia mahukan,” ujarnya.

Terdahulu, konsert Rizky Febian Live In Kuala Lumpur yang dibawakan oleh The Jay Event And Management ini berlangsung dengan cukup meriah dan telah diadakan di Zepp Kuala Lumpur.

Kini, Rizky dalam proses menyiapkan album baharu yang bakal muncul tidak lama lagi.

Kredit Foto: Der Ahmad Sharu

Salma Syahbuddin