“Influencer Pun Habiskan Pengajian…” – Awal Ashaari Selar Pendapat Penyanyi Anggap Sekolah Tak Penting

Pelakon dan pengacara, Awal Ashaari tidak bersetuju dengan pandangan penyanyi muda yang mendakwa pembelajaran di sekolah tidak penting.

Memetik laporan Berita Harian, Awal atau nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari akui terkejut dan berpesan kepada penyanyi itu untuk lebih bertanggungjawab tentang apa yang diperkatakan kepada masyarakat.

“Sejujurnya, saya terkejut bila tengok video klip berkenaan. Saya sukakannya dan dia juga antara seorang yang berjaya, tapi lebih baik bercakap dengan cara lebih berhemah.

“Mungkin dia tersilap, apa sahaja yang diperkatakan akan didengari oleh orang ramai. Mungkin yang tengok video ini adalah anak-anak muda dan sedang bersusah-payah sama ada mahu belajar atau tak.

“Kita tahu semua orang perlu ke sekolah. Bila saya tengok video itu mungkin penyanyi muda ini tak maksudkannya, tapi pelajaran adalah penting,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap individu perlu melalui proses pembelajaran sebelum mengejar cita-cita pada masa hadapan.

“Kalau lihat contoh pempengaruh media sosial di Malaysia juga ada yang baru tamatkan pengajian, jadi boleh kejar apa sahaja cita-cita, tapi mesti ada pelajaran dahulu.

“Kalau hendak cakap apa yang kita belajar tak digunakan sekarang, saya rasa kalau tak belajar semasa tadika atau sekolah rendah, tak mungkin kita boleh bertutur dengan baik.

“Saya fikir mungkin ada kesilapan yang tak dimaksudkan, tapi sebagai selebriti perlu ada tanggungjawab untuk berikan contoh terbaik,” ujarnya.

Terdahulu, tular sebuah klip video penyanyi Asad Motawh mendakwa dirinya hanya membuang masa pergi ke sekolah kerana tiada kaitan dengan kerjayanya ketika ini.

Malah, penyanyi itu berpendapat bahawa sistem persekolahan perlu diubah kerana masyarakat hidup dalam dunia moden tetapi sistem sekolah masih di takuk sama sejak dahulu.

Maya Basir