Peminat Tak Suka Gandingan Bersama? Aisha Retno Perjelas Hubungan Dengan Aziz Harun

Penyanyi Aisha Retno sedar ada peminat kurang selesa gandingannya bersama penyanyi Aziz Harun.

Memetik laporan Berita Harian, Aisha atau nama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam memberitahu dia terbuka menerima sebarang komen daripada peminat.

“Ada juga peminat Aziz jumpa saya mengatakan ‘oh inilah penyanyi yang berkolaborasi dengan Aziz’, tapi peminat saya juga sama, ada yang mengatakannya kepada Aziz.

“Bagi saya, perkara ini sudah menjadi lumrah. Kami profesional dan terima apa yang peminat katakan.

“Kami berterima kasih kepada peminat yang masih sokong kami, lebih lagi menerusi lagu Jarak mencatat jumlah penstriman tinggi.

“Tapi, apa yang saya boleh cakap, peminat Aziz sangat bagus dan fanatik. Insya-Allah, Aziz akan buat comeback sebab agak senyap selepas program realiti, Big Stage.

“Saya gembira peminat masih sokong Aziz hinggalah gambar tular dalam media sosial. Sebagai kawan, saya doakan yang terbaik buat Aziz,” katanya.

Terdahulu, nama Aziz tular dalam media sosial berikutan ramai peminat wanita menyimpan foto dalam dompet yang diedarkan ketika majlis ulang tahun Aziz anjuran peminat pada 2 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut hubungannya bersama Aziz, dia menegaskan hanyalah sekadar kawan baik.

“Kami masih berkawan baik, tapi jarang berjumpa sebab sibuk dengan kehidupan masing-masing. Kali terakhir saya jumpa Aziz di pejabat kerana kami satu syarikat rakaman.

“Kami ada perancangan mahu keluarkan lagu raya, sebab tahun lepas kami buat teaser lagu raya dan tular dalam TikTok.

“Jadi, bila ramai yang minta, kami akan kembalikan kolaborasi Aisha Retno dan Aziz Harun. Bukan nak kata kami keep in private, tapi kami memang berkawan baik.

“Sememangnya Aziz adalah insan yang menyaksikan perjalanan kerjaya dan artis pertama mengikuti saya dalam media sosial.

“Dialah juga orang pertama yang cakap saya perlu jadi artis. Ketika itu, saya hanya nyanyi lagu saduran dan tak sangka boleh rapat dan berkolaborasi,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Aisha kini sedang giat membuat persediaan buat lagu Sutera yang akan bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang bakal berlangsung 3 Mac depan.

Maya Basir