Terima Tawaran Konsert Silih Berganti, Siti Nurhaliza Tolak Dakwaan Wujud Percanggahan – “Alhamdulillah, Ini Rezeki Yang Tak Putus-Putus”

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menolak dakwaan berlaku percanggahan dari mana-mana pihak apabila dia sering diberikan tawaran untuk mengadakan konsert berskala besar.

Katanya ketika ditemui Xtra, setiap konsert yang ditawarkan termasuklah konsert di Singapura dan Genting Highlands nanti mempunyai lokasi dan ruang yang berbeza, selain dia juga mempunyai masa untuk membuat persiapan rapi bagi setiap konsertnya.

Justeru, tidak timbul isu percanggahan seperti yang didakwa.

“Kalau diikutkan, selepas konsert Epitome hari tu, saya ditawarkan untuk konsert di Singapura (bulan Jun). Tapi saya rasa tidak bercanggah sebab itu di Singapura bukan di Malaysia.

“Dan ia sama sekali tidak menganggu konsert seterusnya di Genting Highlands pada bulan Ogos nanti. Sebab masih banyak masa dan ada ruang untuk saya buat persiapan untuk konsert di Genting.

“Lagipun, konsert di Genting, konsepnya sangat berbeza daripada sebelum ini dan ia sangat istimewa,” ulasnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Aku Cinta Padamu ini juga bersyukur apabila menerima tawaran silih berganti untuk mengadakan konsert pada tahun ini.

Menurutnya, ia adalah rezeki yang diberikan Tuhan untuknya, selain momentum konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 9 Mac lalu masih berbekas dalam diri.

“Apa saya boleh katakan, ini rezeki yang tak putus-putus, syukur alhamdulillah… Lagipun saya lebih suka kerana momentum konsert tu masih ada. Saya suka kalau saya boleh carry terus.

“Disebabkan itu, saya ambil. Selepas konsert Epitome, saya ambil pula konsert di Singapura untuk dua malam dan konsert di Genting nanti. Jadi, alhamdulillah… tahun ini tahun konsert. Kalau dikira semua lima persembahan berskala besar,” kongsinya.

Ketika ditanya kenapa memilih untuk mengadakan persembahan di sebuah festival,  Siti atau lebih mesra dengan panggilan TokTi bagaimanapun menjelaskan, persembahan di muzik festival adalah perlu dek kerana ia adalah cara untuknya menunjukkan sokongan terhadap industri muzik tanah air, selain meraikan silaturahim antara rakan artis.

“Perlu. Bagi saya, ini satu muzik festival dan kita digabungkan dengan ramai artis dan lebih kepada meraikan silaturrahim sekaligus menunjukkan sokongan saya terhadap industri muzik tanah air dan saya juga menerima pelawaan daripada sahabat baik suami saya, Air Asia dan sebelum ini pun, kita pernah berkerjasama dalam perniagaan dan sebagainya.

“Saya rasa tak salah kot untuk saya tunjukkan sokongan asalkan kena dengan caranya kerana saya melihat dari pelbagai sudut dengan persembahan saya.

“Jadi, alhamdulillah… saya nak support lah juga kawan-kawan dan sahabat saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahannya di Loop Music Festival yang akan berlangsung pada 11 Mei ini, Siti memaklumkan, dia bakal membawakan 7 buah lagu pada malam tersebut.

Dan, dia yakin bahawa walaupun festival ini akan dihadiri oleh generasi muda, namun lagu-lagu pilihannya pada malam tersebut boleh diterima oleh semua generasi.

“Untuk Loop Music Festival kali ini saya diberi tugasan untuk membawakan sebanyak lima buah lagu dan ada dua buah lagu yang akan di medley kan nanti. Dalam satu medley ada tiga buah lagu dan satu medley lagu rancak jadinya semua ada 7 buah lagu juga kalau digabungkan semuanya.

“Insha-Allah akan saya persembahkan untuk Loop Music Festival nanti. Duration mungkin dalam 20 minit ke 25 minit juga.

“Dan lagu-lagu yang dibawakan untuk festival ni adalah lagu dimana peminat mengenali saya daripada awal, jadi semua sedia maklum saya akan membawakan lagu balada saya, tradisional, fast pun ada… pelbagai rentak lah yang akan saya bawakan nanti.

“Jadi, Inshaa-Allah saya cuba sesuaikan dengan semua lapisan masyarakat. So, peminat lagu-lagu tradisional boleh dengar dan enjoy.Dan saya rasa lagu pilihan saya pada malam itu nanti sesuai untuk semua generasi yang hadir,” jelasnya.

 

Sekadar info, Loop Music Festival yang diadakan pada 11 Mei ini bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil turut menampilkan 15 barisan penyanyi popular tanah air seperti, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Noraniza Idris, Aisha Retno, Nadeera Zaini, Amelina, Masdo, Xpdc, Imsoniacks, Sufian Suhaimi, Ucop, Lucidrari, Arish Mikael, Ronnie Hussien dan DJ Codogc.

Salma Syahbuddin