“Ingatlah Saya Sebagai ‘Penjahat’ Malaysia Yang ‘Sempoi'” – Sharnaaz Ahmad

Pelakon Sharnaaz Ahmad memaklumkan dia tidak berhasrat untuk merangkul sebarang anugerah dalam karier lakonannya sebaliknya mahu mutu kerjanya diingati penonton.

Menurut pelakon Polis Evo 3 itu, dia mahu penonton mengingatinya sebagai ‘penjahat’ Malaysia yang ‘sempoi’.

“Saya tak mahu anugerah-anugerah ni. Bagi saja budak-budak (pelakon) baru ni semua. Saya tak mahu anugerah, jujur cakap kerana bukan itu (anugerah) yang saya kejar pun.

“Bukan pencapaian itu (anugerah) yang saya nak. Saya cuma nak saya diingati sebagai ‘villian’ (antagonis) yang paling hebat di Malaysia, itu saja.

“Tak payahlah bagi anugerah, saya tak mahu. Saya minta ingatlah saya sebagai penjahat Malaysia yang sempoi,” katanya.

Memegang watak sebagai Reza dalam filem arahan pengarah Syafiq Yusof itu, Sharnaaz bersyukur apabila rata-rata penonton terkesan dengan lakonannya.

“Saya memang tak sangka orang boleh sayang ‘villain’ pula. Sebab ‘villain’ selalunya akan dibenci, contoh macam watak Sarip Dol. Tapi, mungkin sebab penceritaannya mengisahkan seorang suami yang kehilangan isteri.

“Penerimaan baik penonton pada lakonan saya dalam Polis Evo 3 sangat bermakna. Bagi saya, orang (penonton) dah sayang saya dari segi lakonan pun cukup terima kasih dan syukur banyak. Itu saja yang saya minta,” katanya.

Terkini, Polis Evo 3 sudah mencatat kutipan ‘box office’ sebanyak RM45 juta.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi