Isteri Salah Faham Punca Dakwaan Cerai Tular, Azlan Komeng Perjelas Gaduh Bukan Sebab Orang Ketiga Tapi…

“Tidak kisah orang nak gambarkan isteri saya macam mana, buruk dia buruk lah saya”.

Demikian respons pelakon Azlan Komeng berhubung kisah rumah tangganya bersama isteri, Nur Nilam Ortiz yang dikatakn goyah sehingga kes tersebut dibawa ke Mahkamah Syariah.

Menurut Azlan atau nama penuhnya, Muhammad Azlan Kamiran, 47, isterinya itu salah faham tentang apa yang diperkatakannya memandangkan dia masih tidak fasih dengan penggunaan bahasa Melayu dan dia juga belajar bahasa itu menerusi buku yang kebanyakkannya baku dan formal.

“Dia akan selalu salah faham setiap kali saya cakap bahasa yang tidak formal.

“Apa yang orang ramai tidak tahu isteri saya ni bukan berketurunan Melayu tetapi kacukan Thailand. Belah ibu dan bapanya berasal dari Sepanyol.

“Dan dia (Nilam) pula belajar bahasa Melayu melalui buku yang kebanyakknya baku dan formal,” katanya.

Perkara itu dikongsi Azlan seusai majlis Tayangan Perdana Anak Perjanjian Syaitan 2 yang diadakan di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azlan menjelaskan punca pergaduhan yang sebelum ini tular bukanlah melibatkan pihak ketiga seperti yang didakwa tetapi adalah disebabkan perniagaan.

Dan, hal tersebut menjadi lebih tegang selepas Nilam keluar dari rumah akibat pergaduhan sekaligus membuat sesi live di TikTok miliknya dan mengatakan kami sudah berpisah.

“Sebenarnya tiada orang ketiga, bekas isteri saya pun tak pernah mengganggu. Kalau betul saya masih ada berbuat jahat dengan perempuan selepas saya bernikah dengan Nur Nilam, keluarkan.

“Cerita kami sebenarnya mengenai perniagaan. Sekarang kami perlahan-lahan sertai acara jualan makanan.

“Isteri saya banyak terbabit dalam perniagaan besar, saya pula perniagaan kecil. Jadi, kami mempunyai jalan berbeza dalam mengendalikan bisnes.

“Kami bergaduh soal bisnes. Saya cakap pada Nur Nilam, engkau buat jalan engkau, aku buat jalan aku. Jadi, dia ingat saya ceraikan dia,” jelasnya.

“Saya tidak sebut langsung perkataan cerai atau talak.

” Jadi, Alhamdulillah perkara ini sudah selesai apabila kami ke mahkamah dan perceraian tidak terjadi pun,” ujarnya.

Terdahulu, Azlan memaklumkan lafaz cerai terhadap Nilam tidak sah disisi undang-undang syariah dan berasa syukur dengan keputusan mahkamah.

Untuk rekod, Azlan dan Nilan berkahwin pada 22 Januari 2022 namun masih belum dikurniakan zuriat.

Salma Syahbuddin