Kata Melayu Malas, Makcik Kemboja & Anak Dituduh Esok

Peniaga warga Kemboja dan pempengaruh media sosial, Mariyah Yaakob atau Makcik Kemboja, 49, bakal dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok.

Menurut laporan Berita Harian, Mariyah yang mencetuskan kontroversi dengan mendakwa orang Melayu malas menerusi video tular bulan lalu akan turut dituduh bersama anaknya lelakinya Ezuan Hafsham Mohd Hisyam, 22,

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah, berkata kedua-dua individu tersebut bakal didakwa pada esok.

“Kertas siasatan kes berkenaan sudah diterima daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri dan arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara adalah untuk mendakwa kedua-dua individu terbabit pada esok.

“Wanita itu akan didakwa mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan manakala anak lelakinya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya dihubungi.

Kes berkenaan akan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.

Terdahulu, media melaporkan polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan dirujuk kepada Pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya.

Dalam siasatan kes itu, polis turut menyoal siasat dan merakam keterangan 14 saksi lain yang boleh membantu siasatan lain selain Mariyah.

November lalu, kecoh di media sosial apabila tular sebuah rakaman video memaparkan seorang wanita mengeluarkan kata-kata menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dengan mengatakan ‘Melayu malas’.

Ternyata, dakwaan tersebut mencetuskan kemarahan ramai sehingga pihak polis menerima belasan laporan.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi