Isu Lantang Bersuara, Nora Danish Tak Mahu Memandai-Mandai – “Bila Kena Pada Diri Sendiri Baru Tahu”

Pelakon Nora Danish mengakui tidak gemar terlalu lantang bersuara tentang sesuatu perkara.

Memetik laporan Harian Metro, semakin meningkat usia dia mementingkan ketenangan diri dan kegembiraan keluarga berbanding mencampuri urusan orang lain.

“Apabila memasuki fasa usia yang semakin meningkat sekarang, ia lebih mematangkan dan saya cukup berhati-hati terhadap setiap tindakan terutama ketika membuat hantaran di media sosial.

“Ditambah sekarang agak banyak isu semasa ‘panas’ yang timbul hingga membuat saya rasa lebih baik berdiam diri daripada memberi maklum balas atau cuba campur tangan,” katanya.

Menurut pelakon sitkom Puteri ini, dia tidak mahu memandai-mandai terhadap isu yang dihadapi orang lain kerana bimbang berbalik kepada diri sendiri, anak atau pun keluarga.

“Kadang-kadang kalau lantang bercakap mengenai hal orang, bahaya juga kerana bila kena pada diri sendiri, baru kita tahu. Jadi, tak payah nak sibuk dan lebih baik diamkan diri dan bercakap bila perlu saja.

“Apa pun, cukup sekadar saya tahu wujudnya isu itu, lihat perkongsian yang dibuat di media sosial dan tidak perlu bersuara kerana ia pasti lebih menenangkan diri kita serta gembira,” ujarnya.

Memiliki 7.3 juta pengikut di Instagram, Nora mengambil berat tentang hantaran yang dimuat naik kerana sedar dengan situasi kebanyakan netizen yang suka mengkritik dan mengecam.

“Bagi saya, netizen masa kini kalau kita buat silap sedikit mesti akan kena (kecam). Jadi, sekarang boleh dikatakan saya agak tenang sebab jika hendak muat naik sesuatu di media sosial akan fikir banyak kali.

“Sebabnya, saya dah berkeluarga dan ada anak. Oleh itu, saya lebih selesa fokus pada apa yang patut saja dan kalau tidak perlu, saya tak akan muat naik apa-apa pun di media sosial,” jelasnya.

Maya Basir