Isu Mosh-Pit Ketika Konsert, Masdo Berhasrat Nak ‘Educate’ Penonton

Tular baru-baru ini apabila sebuah konsert yang menjadi bualan ramai akibat segelintir penonton yang melakukan ‘mosh-pit’ sehingga berlaku pertengkaran.

Sebagai salah satu inisiatif yang mampu menghalang isu tersebut, Kumpulan muzik yang bernuansakan muzik 60-an, Kugiran Masdo berhasrat untuk mengajar serta memberikan pesanan kepada penonton sebelum membuat persembahan pada konsert mereka yang akan datang.

“Kami memikirkan kita harus ‘educate’ fans dengan etika-etika yang betul,” ujar pemain bass band tersebut, Putu Ceri.

Vokalis utama kumpulan tersebut, Ali Sariah juga turut memberikan pandangan yang sama tetapi baginya, mengajar individu untuk mematuhi arahan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

“Sebenarnya isu ni dah lama cuma nak educate orang itu mengambil masa. Kita memang dah ada plan untuk mungkin lepasni kalau ada show, kita akan tunjuk satu video tatacara yang betul dan sesuai,” jelas Ali.

Difahamkan, Kugiran Masdo bakal membuat konsert terulung mereka di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 22 Julai 2023 ini.

Dijangka pada konsert itu nanti segala gerak-geri yang bakal menggamatkan suasana tidak akan dibuat sempena memenuhi tatacara dan susun atur kedudukan di dewan itu nanti.

Namun bagi Masdo, penonton tidak mempunyai limitasi untuk berhibur kerana mereka masih boleh berdiri dan menikmati lagu-lagu yang akan disampaikan dengan alunan akustik pada konsert itu nanti.

Peminat juga masih boleh mendapatkan tiket boleh menerusi laman sesawang https://tickets.mpo.com.my/

Izzi Farhana