Kini Aktif Dalam Dunia Perniagaan, Izara Aishah Nafi Lupakan Karier Lakonan – “Hanya Drama Yang ‘Proper’ Saja Saya Akan Buat”

Pelakon Izara Aishah mengakui tahun 2024 adalah tahun yang sibuk buat dirinya dalam mengusahakan perniagaan jenama fesyen miliknya.

Bercakap kepada XTRA, Izara turut memaklumkan dia kini hanya mengambil tawaran lakonan filem dan drama yang menepati pilihannya sahaja.

“Tahun ini saya sangat sibuk dengan perniagaan saya iaitu jenama fesyen saya sendiri.

“Saya hanya buat filem sekarang ini, dan drama hanya drama yang ‘proper’ sahaja saya akan buat, Insya-Allah. Tapi buat masa sekarang belum lagi.

“Saya mahu tumpukan perhatian kepada perniagaan saya sebab ia baru sahaja ditubuhkan jadi memang kena beri sepenuh perhatian,” katanya.

Izara ditemui pada majlis pelancaran Infaq Ramadan Yayasan Nurjiwa di sebuah restoran di Ibu Kota, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pemilik nama penuh Izara Aishah Hisham, itu menafikan dia sudah melupakan bidang lakonan biarpun kini aktif dalam dunia perniagaan.

“Saya tak lupakan, ada lagi. Insya-Allah nanti pasti ada tawaran untuk saya sebab jika belum sah lagi saya takkan umumkan.

“Ada penerbit yang selalu tawar, tetapi saya terpaksa tolak sebab saya ada beberapa perkara lain. Sebab itulah saya kurangkan sikit karier lakonan.

“Kalau ada penerbit yang betul-betul boleh dengan permintaan saya, baru saya buat,” ujarnya.

Ditanya apakah watak-watak yang diidamkan Izara, ini jawapan menantu kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

“Saya suka galas watak-watak yang berkisarkan tentang cerita sebenar, jadi kalau saya dapat watak sebegitu saya akan terima.

“Tapi saya suka cerita yang bergenre keluarga berbanding cinta,” kongsinya.

Berkongsi perasaan menjadi ibu kepada dua cahaya mata kini, Izara mengakui agak mencabar namun selesa menikmatinya.

“Saya rasa ‘struggle’, saya ada anak pertama dan kedua jadi semua saya ‘hands on’ sebab saya pentingkan keluarga dahulu berbanding karier saya.

“Saya sangat terharu tapi saya sukakan perasaan itu, hanya ibu-ibu saja yang mengetahui perasaan itu,” tutupnya.

Untuk info, Izara dan suami, Adib Khalid telah mendirikan rumah tangga pada 17 November 2017

Kini Izara dan Adib dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Irisa Alaia, 4 tahun dan Amara Amina, lima bulan.

Khairil Khusyairi