‘Jadi Pelumba Mengajar Saya Jadi Lebih Penyabar’- Wany Hasrita

Penyanyi Wany Hasrita mengaku penglibatannya dalam acara Toyota Gazoo Racing banyak mengubah karakternya.

Kata penyanyi yang terkenal dengan imej sopan ini, dia mengaku menjadi lebih penyabar semenjak bergelar pelumba ‘halal’ untuk dua musim.

“ Jadi pelumba mengajar saya jadi lebih bersabar, saya lebih mahir mengawal tekanan ketika di jalan raya. Perlumbaan bukan untuk menang pingat semata-mata, ia lebih daripada itu.

“ Kalau kita fikir nak bawa laju sahaja tetapi belum sampai ke garisan penamat, kereta kemalangan…tiada guna juga kan? Saya kini lebih fokus dalam pemanduan dan lebih bersabar di jalan raya,” katanya kepada XTRA.

Berkongsi pengalaman di trek lumba, bintang paling popular 2018 ini menceritakan dia amat kagum dengan kebolehan pelakon Diana Danielle memandu di trek.

“ Jujur saya kata, dia idola saya di setiap perlumbaan. Saya perhatikan teknik pemanduannya luar biasa. Bila tamat sahaja perlumbaan, orang pertama saya akan cari sudah tentu dia.

“ Saya juga banyak belajar untuk lebih berhati-hati di trek lumba dan tidak kelam kabut menuju ke garisan penamat. Konsep saya amalkan, asalkan berjaya habiskan perlumbaan. Kalau laju pun, kereta belakang ‘hentam’ seterusnya membuatkan kereta kita terbabas melanggar dinding. Selepas itu kita pula tidak dapat habiskan perlumbaan, kan dah rugi,” katanya tertawa.

Selain Wany, antara pelumba selebriti yang terlibat adalah Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya yang berlumba bagi kategori Promotional.

SGMS Faida