Jadi Rebutan, Hun Haqeem Redha Tak Cukup Tidur

Kejayaan di luar jangkaan drama Kampung People telah melonjakkan nama Hun Haqeem di dalam dunia lakonan dan kini pelakon berusia 22 tahun yang membawa watak Jaafar atau ‘Jekfer’ itu mula menjadi rebutan pengarah. 

Ketika sesi fotografi bersama BH, Hun mengakui terbabit dalam dua projek pada satu masa iaitu penggambaran drama The Gadis arahan Liyana Jasmay dan drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang diterajui Nabila Razali, juga untuk TV3. 

“Saya terpaksa bahagikan jadual.   Misalnya, saya tidak terbabit dengan penggambaran drama Seindah Tujuh Warna Pelangi di Batam, Indonesia, sekarang. 

“Jadi saya penuhi komitmen di lokasi drama The Gadis.  Melalui drama ini, saya berpeluan bekerja dengan produksi Liyana Jasmay iaitu Mermaid Studios buat kali pertama,” katanya kepada BH Online. 

Ketika sesi fotografi tersebut, Hun juga berkata dia hanya sempat tidur selama dua jam sahaja selepas seharian bekerja di lokasi penggambaran, namun dia redha kerana peluang tidak selalu datang bergolek. 

Malah, dia bersyukur kerana dalam tempoh setahun, kemunculannya dalam drama Kampung People telah membuka banyak pintu rezeki dan mengubah nasibnya sebagai seorang pelakon baharu yang mahu mencipta nama. 

“Kebetulan rezeki saya murah dengan TV3 selepas impak drama Kampung People.  Saya perlu nikmati semuanya dengan sebaik mungkin. 

“Tak pernah rasa kesal, saya anggap ini rezeki terpijak. 

“Ketika terima tawaran itu, saya tidak pernah menyangka drama berkenaan diminati ramai sampai trending. 

“Lebih utama, drama lakonan saya ditonton seisi keluarga.  Tidak hanya diminati golongan dewasa, peminat cilik juga kenal saya dan mengajak bergambar kalau berjumpa,” katanya lagi. 

 Selain Hun, drama The Gadis arahan Liyana Jasmay juga dibintangi Fatin Afeefa dan akan ditayangkan menerusi slot Lestary TV3 tidak lama lagi. 

Kredit Foto: Instagram @hunhaqeem

 

Del14