‘Jaga Dia’ Buah Tangan Baharu Daniesh Suffian

Mula dikenali dalam sebuah rancangan nyanyian iaitu Vokal Mania, Daniesh Suffian, kini mempertaruhkan single terbaharu berjudul ‘Jaga Dia’ dalam usaha untuk terus memartabatkan dirinya di dalam bidang seni suara tanahair.

Buah tangan terbaharunya ini merupakan hasil kolaborasi Daniesh Suffian dan Omar K juga mendapat sentuhan Firdaus Rahmat.

Jaga Dia mengisahkan tentang percintaan pahit manis dengan seseorang akibat dari perpisahan atau jarak yang jauh.

Mengulas lanjut tentang proses penghasilan dan rakaman single ini, Daniesh berkata bahawa lagu ini menyampaikan tentang rasa sayang, kasih dan rindu kepada seseorang yang bukan lagi milik kita tetapi kita berharap dan mendoakan agar orang itu sentiasa dalam keadaan yang baik, dilindungiNya walaupun perit kerana cinta yang disulam itu telah tiada.

“Sejujurnya, ini adalah kali pertama saya menulis lirik untuk lagu yang sedih. Selama ini saya banyak menulis dan menyanyikan lagu cinta yang gembira seperti meraikan perkahwinan.

“Justeru itu, saya berasa amat teruja kerana, melalui ‘Jaga Dia’ saya dapat menyelami segala emosi dan perasaan dalam menghasilkan bait-bait lirik yang menggambarkan rasa sedih kerana terputusnya ikatan percintaan antara dua orang.

“Pada hemat saya, ‘Jaga Dia’ ini bukanlah ‘just another song about a broken heart’ tetapi ia mengajar kita erti untuk melangkah pergi dan pada masa yang sama kita masih boleh mengharapkan yang terbaik untuk orang yang pernah kita cintai itu,” jelas Daniesh.

Jaga Dia sudah pun menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan, laman YouTube serta laman sosial media seperti Instagram, TikTok bermula 30 Jun 2023.

Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain.

Izzi Farhana