Furqan Fawwaz Bangkitkan Semangat & Rasa Cinta Dalam ‘Hey Anta’

Pempengaruh media sosial yang terkenal dengan kandungan berunsur Islamik dan Ilmiah, Furqan Fawwaz tampil mewarnai dunia hiburan tempatan dengan single terbaharu berjudul, Hey Anta.

Hey Anta merupakan hasil kolaborasi antara dirinya sendiri bersama Omar K dan Firdaus Rahmat.

“Kami ingin menyampaikan mesej halus tentang pentingnya kita membuka mata dan juga hati kepada mereka yang berada disamping kita. Lagu ini saya dedikasi kan kepada mereka yang sedang memikul atau menggalas beban yang berat dibahu mereka dan yang sedang berjuang untuk kekal kuat menghadapi cabaran hidup. Kadangkala dalam mengharungi cabaran dan ujian itu, kita akan berasa keseorangan, putus harapan dan memendam rasa kerana beberapa sebab,” ujar Furqan.

Berkongsi lanjut, Hey Anta adalah sapaan mesra atau pertanyaan penuh ikhlas kepada mereka yang sedang berjuang mengharungi perih jerih kehidupan dan juga menceritakan tentang betapa besar dan pentingnya meniup kata semangat dan menzahirkan ucapan positif kepada mereka yang memerlukan.

Disertakan dengan elemen dan alunan muzik Arab dalam rentak balada, ‘Hey Anta’ mengajak pendengar untuk menyelami unsur positif dan motivasi dalam setiap baris lirik yang bersifat ‘relatable’ dan ‘easy listening’.

Hey Anta sudah pun menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan, laman YouTube serta laman sosial media seperti Instagram dan TikTok bermula 26 Mei 2023.

Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain.

Izzi Farhana