Mat Tudung Begins, Filem Pertama Arahan Fizz Fairuz

Setelah 9 tahun tayangan filem Mat Tudung, kini peneraju utama filem tersebut, Datuk Fizz Fairuz mengambil peluang untuk menghasilkan filem yang kedua iaitu Mat Tudung Begins.

Menurut Fizz yang memegang awatak sebagai Johari atau Johanna ini, dia sebenarnya sudah lama merancang untuk menghasilkan filem tersebut sejak lapan tahun lalu.

“Saya ada tanya pada pihak penerbit sebelum ini sama ada nak sambung atau tidak, tetapi tiada jawapan daripada mereka. Mungkin sebab kekangan bajet atau ada sebab-sebab lain.

“Memang saya berminat nak buat sambungannya, cuma ia di bawah produksi Showbiz dan ambil masa juga nak minta kebenaran untuk pembikinannya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, setelah menunggu agak lama, akhirnya dia telah mendapat kebenaran daripada Datuk Norman Abdul Halim selaku penerbit Mat Tudung untuk menerbitkan sendiri pada Mei 2022.

Namun begitu, dia menjelaskan untuk filem tersebut, ia bukanlah kesinambungan kepada jalan cerita filem pertama sebaliknya ia merupakan kisah yang berlaku sebelum filem Mat Tudung yang pertama.

Dalam pada itu, Fizz menyatakan filem pertama arahannya itu menyajikan sebuah jalan cerita yang menarik serta sarat dengan elemen-elemen komedi yang mampu menghiburkan penonton.

“Untuk filem Mat Tudung Begins ini, saya percaya ia lebih kelakar berbanding yang sebelumnya dan saya yakin penonton akan rasa terhibur.

“Selain itu, saya juga menampilkan barisan pelakon-pelakon yang hebat dan turut diserikan lagi dengan kemunculan dua orang influencer terkenal,” jelasnya.

Atara pelakon hebat yang membintangi Mat Tudung Begins ialah Achey, Isyariana, Fazlina Ahmad Daud dan Kazar Saisi serta dua pempengaruh terkenal media sosial iaitu Maryam Durian Kimchi dan Mimi Peri.

Filem Filem Mat Tudung akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Ogos 2023.

Izzi Farhana