Categories: HiburanTrending

Jaja Ishak Ada Sebab Memilih… Utamakan Pelakon Kelahiran Pahang, Lokasi Shooting Pun Memang Nak Di Negeri Pahang!

Penerbit, Jaja Ishak mempunyai sebab tersendiri untuk bersikap pilih bulu dalam menentukan pelakon dan lokasi penggambaran drama terbitannya.

Empunya rumah produksi Jaja Ishak Channel ini lebih selesa mengutamakan pelakon kelahiran Pahang dan memilih untuk mencari lokasi penggambaran di sekitar negeri terbabit.

“Saya memang pilih bulu. Bukan mahu bersikap sombong, tetapi saya mempunyai alasan tersendiri. Saya percaya itu adalah cara terbaik untuk mengangkat negeri Pahang selain memberikan semula kepada masyarakat.

“Asalkan pihak stesen TV setuju dengan pilihan produksi saya, kita teruskan. Banyak karya yang saya terbitkan, hampir 50 naskhah, pastinya saya akan memilih untuk melakukan penggambaran di Pahang dan menampilkan pelakon yang lahir di Pahang,” kata Jaja.

Bagi Jaja, ia juga dapat menjana semula ekonomi rakyat Pahang menerusi pemilihan lokasi penggambaran di negeri itu.

“Maksud pilih bulu di sini adalah pilihan, contohnya dua pelakon yang bakat mereka setara, tetapi salah seorangnya dari Pahang, sudah pasti saya akan pilih yang berasal dari Pahang itu.

“Bukan nak jadi kekwat, tetapi ini adalah cara memberikan semula kepada masyarakat. Dalam masa sama mudah untuk berurusan dan secara tidak langsung menjana ekonomi Pahang.

“Peniaga kecil, pengendali restoran, pengusaha hotel dan tempat-tempat menarik. Semuanya akan diberikan promosi menerusi naskhah terbitan saya. Saya sayangkan negeri saya, jadi saya rasa taka da salahnya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan karier, Jaja bakal menerbitkan drama baharu berjudul Panggil Aku Dahlia tidak lama lagi.

“Karya ini mempunyai 26 episod kesemuanya dan bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi. Ia akan ditayangkan di RTM selama satu jam dan jika tiada aral melintang, ia akam ditayangkan di penghujung 2024.

“Naskhah yang berkisarkan mengenai dua pesaing perniagaan ladang teh ini bakal menjalani penggambaran di lokasi sekitar Pahang iaitu di Cameron Highland, Kuantan serta Temerloh,” katanya lagi.

Padin