Categories: HiburanTrending

Babak ‘Berkemban’ 15 Tahun Kini Keluar Pawagam, Zila Bakarin Tak Berkuasa Minta Produksi Batal Tayangan – “Saya Malu Sebab Sekarang Dah Berhijab”

Pelakon Zila Bakarin meluahkan kebimbangan susulan filem yang dilakonkannya 15 tahun lalu berjudul Syaitan Munafik akhirnya ditayangkan di pawagam.

Dia yang sudah tampil dengan imej berhijab terkedu dengan perkhabaran tersebut.

Mana tidaknya, dia tiba-tiba mengimbau kembali babak yang dilakonkan tidak selari dengan penampilan terkininya.

Memetik Berita Harian, dalam filem arahan Allahyarham Majed Salleh itu, Zila muncul membawakan watak isteri curang.

Lebih mengejutkan apabila dia memberitahu, terdapat babak dia berkemban dan menampakkan aurat.

“Jujurnya, saya sendiri tidak ingat pasal filem ini kerana sudah lama sangat. Memang benar saya seksi habis dalam filem ini, selamba sahaja berkemban.

“Sebelum ini, saya ada dimaklumkan oleh pihak produksi filem ini akan ditayangkan. Cuma, saya tak tahu bila tarikhnya,” jelasnya.

Akui tindakan beraninya berpakaian seksi itu dilakukan sebelum berhijrahan, Zila bagaimanapun tidak menafikan sangat takut dengan kecaman netizen.

“Jika ditanya sudah tentu saya risau bila filem ini ditayangkan kerana bimbang reaksi penonton.

“Dalam era media sosial hari ini, netizen akan kecam apa sahaja dan perkara ini cukup menakutkan saya,” katanya.

Zila berkata, dia tidak berkuasa untuk meminta syarikat produksi untuk membatalkan tayangan filem tersebut hanya sekadar imej Islamiknya ketika ini.

“Masa saya lakonkan watak ini, saya pun tak sangka ia akan ditayangkan 15 tahun kemudian ketika sudah berhijab.

“Takkankah saya nak halang produksi menayangkan filem ini hanya kerana imej terkini saya.

“Kalau ikutkan memanglah saya malu bila mengenangkan keadaan diri saya kini sudah berhijab,” ujarnya.

Zila berharap agar semua pihak dapat memahami situasi tersebut serta tidak sewenang-wenangnya memberi kritikan tanpa usul periksa.

“Nak cakap banyak pun benda sudah lama berlaku. Saya anggap ini aturan Allah yang mahu saya selesaikan segala yang tertangguh dan buka lembaran baharu.

“Saya harap semua pihak dapat memahami kerana filem ini adalah masa lalu saya dan tidak perlu diungkit. Ini kerana saya kini sedang dalam fasa untuk menjadi insan lebih baik,”luahnya.

Sumber : Berita Harian

Syamir Shafie