Jalan Cerita Lebih Menarik, Ejen Ali Musim 3 Kini Akhiri Penantian Peminat!

Siri animasi popular Ejen Ali, kini muncul dengan musim ketiga secara eksklusif di Disney+ Hotstar mulai 25 Jun ini.

Kali ini, Ejen Ali tampil dengan jalan cerita yang lebih menarik serta penuh dengan mesej positif yang dipamerkan dalam musim ini.

Sebuah kolaborasi bersama Disney+ Hotstar, Primeworks Studios dan WAU Animation, siri animasi yang telah merangkul pelbagai anugerah ini turut kembali dengan 13 episod penuh aksi musim ini.

Bukan itu sahaja, musim ini bakal menyaksikan Ali dan rakan-rakan ejen muda dari Akademi MATA kembali disatukan dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA.

Pada awalnya, jalan cerita siri ini sepatutnya menjadi kesinambungan kepada filem Ejen Ali yang pertama, namun disebabkan pandemik pihak WAU Animation berjaya mengolahnya untuk dijadikan siri musim ketiga.

Terkenal dengan dunia penceritaan yang inovatif dan animasi berkualiti tinggi, francais animasi Ejen Ali juga berjaya mengangkat pengaruh kepelbagaian budaya di Malaysia dengan mengetengahkan teknologi moden yang digabungkan pelbagai elemen tradisional Malaysia dan serumpun.

Antaranya adalah penggunaan unsur gasing dan kerambit sebagai gajet yang baru, serta seni mempertahankan diri silat.

Biarpun diberi peluang untuk menyaksikan dua episod pertama, secara keseluruhannya WAU Animation berjaya membuktikan siri animasi tempatan ini juga mampu membuat peminatnya tidak bosan untuk menontonnya.

Selain Malaysia, siri yang dipenuhi dengan efek visual menakjubkan ini juga akan ditayangkan di serantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Singapura.

Fatin Nurain