Mohon Dana Tapi Tak Dilayan, Jasmine Suraya Terpaksa Jual Aset Demi Sambung Belajar di LA

Pelakon Jasmine Suraya memaklumkan dia memerlukan perbelanjaan sebanyak RM400,000 bagi menampung kos pengajiannya di Lee Strasberg Theatre and Film Institute, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pada April.

Bercakap kepada XTRA, Jasmine atau nama sebenarnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, terpaksa menjual aset peribadinya seperti kereta dan beberapa barangan peribadi.

“Nak pergi AS perlu belanja yang tinggi dengan keadaan pasaran mata wang kita sekarang. Jadi, saya perlu bajet antara RM300,000 hingga RM400,000.

“Jadi saya jual barang-barang saya seperti kereta dan benda peribadi lain yang sudah tidak ada nilai.

“Barang yang ada harga, saya simpan manakala yang lain saya jual dan laburkan kepada perkara lebih baik,” katanya kepada pemberita.

Jasmine Suraya ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Mask Team di Restoran Palmierra 28, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Paskal itu, dia memaklumkan sebelum ini meminta menangguhkan pengajian kerana menerima tawaran berlakon di Indonesia.

“Saya akan berangkat ke London untuk bercuti selama dua minggu dan kemudian ke LA sebab kelas mula awal April.

“Awalnya saya tolak tawaran berlakon di Indonesia tetapi selepas bertemu pengarah dan tahu cerita lebih lanjut, sayang pula kalau tidak cuba.

“Apabila saya maklumkan pusat pengajian, mereka benarkan saya menangguhkan pengajian selama tiga hingga empat bulan,” ujarnya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Sarawak ini mengakui terkilan apabila gagal mendapatkan sokongan kerajaan Sarawak bagi mendapatkan dana.

“Saya cuba menghubungi dan mesej kerajaan Sarawak tetapi tidak dipedulikan. Saya kecewa sebab sudah hantar permohonan banyak kali.

“Mereka ada dana untuk perkara lain tapi tidak ada untuk pembangunan bakat, modal insan. Bagi saya, agak terkilanlah. Tidak mengapa kalau tak bagi saya.

“Tapi ada ramai lagi bakat-bakat yang datang daripada latar belakang tak seberapa. Mungkin tak ada duit nak pergi jauh tapi sangat berbakat,” tutupnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jasmine Suraya Umumkan Berehat Daripada Berlakon, Kejar Impian Di Los Angeles! – “Saya Orang Malaysia Pertama Yang Diterima Masuk…”

Khairil Khusyairi