Pelakon Jasper Supayah tampil meluahkan rasa lega apabila karakter Najia yang dibawakan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah di Slot Akasia TV3, mula mendapat penerimaan baik penonton.

Jasper yang memegang watak ‘gedik’ itu berpuas hati apabila karakter yang ditonjolkannya menerusi drama tersebut menerima respons positif.

“Peranan saya dalam drama ni basically tak puas hati bila Luth Mikail bersama Raisya dan sangat annoying, gedik karakter dia dalam drama ni.

“Saya nampak benda tu dah terjadi bila penonton komen kewujudan saya bila dalam scene tertentu. Jadi benda tu menjadi,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon jelita itu turut berkongsi antara komen-komen pelik yang diterima sepanjang penglibatannya dalam drama arahan Osman Ali ini.

“Ada satu komen tu ada yang cakap hidung saya ni memang kena kembang ke bila marah dan sedih? Hidung saya dah memang macam ni, tapi lakonan wise saya bersyukur.

“Tapi saya ambil kata-kata tu dengan positif sebab maybe orang kenal saya dengan hidung saya yang kembang kempis,” jelasnya.

Malah, Jasper juga sempat meluahkan rasa syukur kerana bakat lakonannya masih mendapat tempat dalam industri biarpun dia berlainan bangsa dan agama.

“Sepanjang karier saya, saya bersyukur sebab nak masuk tahun ke tujuh dalam industri ini, bukan senang sebab saya bukan Melayu.

“Tapi, kehadiran saya dalam industri ini membuatkan semua orang suka saya dan saya adapt culture Melayu dan Islam. Jadi, itu memberikan saya keyakinan untuk sambung lagi kerjaya saya dan takkan berhenti,” katanya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Jasper ketika di Majlis Sidang Media Tonton Anugerah Drama Sangat, Ahad lalu.

Selain Jasper, drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu turut dibintangi oleh Aliff Aziz, Sophia Albarakbah, Shah Iskandar, Jasmine Suraya, Shahidan Izwan, Zaki Azeman, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Orang ramai boleh menonton drama tersebut di Slot Akasia, setiap Isnin hingga Jumaat, 7 malam di TV3.

Fatin Nurain