Kes Tuntutan Hak Penjagaan Anak: Adam Shahz Mohon Hak Lawatan Tapi Fatin Afeefa Bantah, Maklum Empat Bulan Tak Jumpa Anak

Prosiding perbicaraan berhubung hak penjagaan anak tunggal pelakon Adam Shahz dan bekas isteri iaitu Fatin Afeefa sekali lagi gagal mencapai kata sepakat.

Memetik laporan Berita Harian, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menangguhkan kes berkenaan untuk sebutan kali kedua pada 17 April depan.

Hal ini susulan bantahan difailkan Fatin selaku defendan terhadap Adam (plaintif) yang memohon hak lawatan, bersama dan bermalam terhadap anak mereka, Ivy Herra Sophia, 7.

Menurut peguam syarie mewakili Adam, Liyana Sihar, dia berharap anak guamnya akan mendapat hak dan mahu kedua-dua pihak menang.

“Hari ini sebutan pertama, kami memohon untuk membuat pindaan kepada apa yang sudah difailkan dahulu. Tetapi, pihak Fatin membantah, jadi kami diarahkan memfailkan secara bertulis.

“Dalam tuntutan lalu, anak guam memfailkan tuntutan mendapatkan hak jagaan penuh. Selepas perbincangan, kami percaya anak guam boleh bertolak ansur untuk berikan hak jagaan kepada bekas isteri.

“Jadi, anak guam memohon hak lawatan, bersama dan bermalam. Seperti sedia maklum, apabila seseorang mendapat hak jagaan anak, maka pihak satu lagi akan mendapat hak lawatan, bersama dan bermalam.

“Kami mahu kedua-dua pihak menang bersama. Cuma, perkara ini dibantah. Saya percaya, anak guam ada hak dan kami akan menuntutnya,” katanya.

Menurut Adam, dia berharap proses tersebut dipermudahkan oleh kedua-dua belah pihak malah turut memaklumkan dia kini sudah empat bulan tidak bertemu dengan anaknya iaitu Ivy Herra Sophia.

“Sejujurnya, saya berharap semuanya dipermudahkan untuk kedua pihak. Tetapi, mungkin ada terma yang pihak sana tidak bersetuju. Jadi, kami akan tunggu sebutan kedua pada 17 April depan.

“Saya tidak bertemu dengan anak sejak empat bulan lalu. Saya juga disekat oleh bekas isteri dan keluarganya. Saya sendiri tidak tahu di mana anak saya kerana masih belum dapat berhubung.

“Saya cuba cari dalam media sosial, tetapi seolah-olah anak disembunyikan. Ketika majlis sulh tempoh hari, saya cuma diberitahu bahawa anak ditempatkan di sekolah berasrama penuh, tetapi tidak dinyatakan secara terperinci,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatin enggan memberikan sebarang kenyataan sebaliknya hanya mengikut sahaja proses yang ditetapkan pihak mahkamah.

“Tiada apa yang boleh saya katakan. Kita sudah masuk ke mahkamah, jadi kita akan proses yang sepatutnya.

“Saya tak mahu berikan sebarang kenyataan yang akan memakan diri. Saya mahu menghormati pihak mahkamah,” katanya.

Januari lalu, prosiding perbicaraan kali pertama berhubung hak penjagaan anak tunggal mereka gagal mencapai kata sepakat setelah prosiding majlis sulk diadakan membabitkan kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, Adam atau nama sebenar Nor Shah Azli Abdol Ghani, 41, menfailkan tuntutan hak penjagaan ke atas Ivy kerana mendakwa sudah lebih dua bulan tidak bertemu anaknya.

Untuk rekod, Adam dan Fatin berkahwin pada 21 Disember 2013, namun bercerai pada Mei 2017.

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi