Gosip Selebriti 80-an Kahwin Wanita Muda, Netizen Petik Nama ND Lala… Isteri Pula Kongsi Foto Sempena Anniversary Ke-35

Baru-baru ini, timbul gosip melibatkan selebriti lelaki popular era 80-an berkahwin kali kedua dengan wanita muda secara rahsia.

Artikel Berkaitan: Nikah Wanita Muda, Selebriti Lelaki Popular 80-an Didakwa Berkahwin Lagi Secara Rahsia?

Susulan itu, nama penyanyi otai, Datuk ND Lala secara tiba-tiba menjadi sasaran netizen yang mengaitkan dirinya dengan gosip liar tersebut.

Berdasarkan pemerhatian XTRA, ruangan komen Instagram ND Lala dibanjiri dengan komen-komen netizen selepas gosip terbabit dihebahkan.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru isteri tercintanya, Datin Fauziah Sarman seakan menepis spekulasi tersebut.

Fauziah berkongsi dua keping foto mereka bersama beserta kapsyen dan tanda pagar ‘susah senang bersama’, ’till jannah’ dan ‘Alhamdulillah for everything’ di Instagram.

Menerusi hantaran tersebut, ibu bapa kepada penyanyi popular Shila Amzah ini menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-35 tahun.

Sebelum ini, mahligai cinta pasangan sejoli ini dikatakan goyah, namun Shila menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan rumah tangga ibu bapanya sedang melalui fasa sukar.

Aqilah Paharuzi