“Jeritan Penonton Tak Membantu” – Ketua Juri Dedah Marsha Milan Jadi Pesaing Terdekat Aina Abdul Rebut Trofi Vokal Terbaik AJL 36

Ketua juri Anugerah Juara Lagu 36 (AJL 36), Datuk Mokhzani Ismail mendedahkan Marsha Milan menjadi pesaing terdekat Aina Abdul untuk merangkul trofi Vokal Terbaik.

Menurut Mokhzani, guru vokal tersohor, Datuk Syafinaz Selamat banyak membantu untuk menjurikan markah berdasarkan teknik vokal.

“Memang ramai penonton menjerit ketika penyanyi kegemaran mereka membuat persembahan tetapi sebenarnya jeritan penonton tidak membantu pemarkahan pun kerana juri lebih peka dengan vokal yang dipersembahkan.

“Syafinaz berada dalam senarai juri AJL 36, jadi dia banyak membantu untuk menilai teknik vokal. Marsha Milan menjadi saingan sengit Aina Abdul untuk memegang trofi Vokal Terbaik pada malam ini,” katanya.

Tambahnya, semua finalis menunjukkan kemampuan tersendiri di malam AJL 36.

“Hampir semua penyanyi yang bertanding di pentas berprestij ini menunjukkan kehebatan vokal masing-masing.

“Seperti Khai Bahar dan Aina Abdul untuk lagu Nafas Cinta, semuanya lengkap. Harmony, chemistry, nyanyian terasa di jiwa.

“Tetapi apabila ia dinilai menerusi semua sudut, Vokal Terbaik AJL 36 tetap berpihak kepada Aina Abdul menerusi lagu Sepi,” katanya.

Selain Mokhzani dan Syafinaz, AJL 36 turut dijurikan oleh LY, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan.

Padin