“Jika Anak Ada Bapa Baru, Saya Terima” – Syamsul Yusof Doa Puteri Sarah Jumpa Lelaki Baik, Tidak Letak Syarat Berjumpa Anak-Anak

Pengarah sensasi, Syamsul Yusof mendoakan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana agar bertemu jodoh dengan lelaki baik.

Menurutnya, dia mahu bekas isteri dan anak-anaknya bahagia dengan kehidupan baru mereka.

“Walaupun bukan bergelar suami isteri, saya tetap berharap Puteri Sarah bertemu lelaki yang boleh menjaganya dengan baik.

“Saya doakan Puteri Sarah ditemui kebahagian. Saya harap dia bertemu jodoh dengan seseorang yang baik dan boleh membahagiakannya.

“Jika anak-anak ada bapa baru, saya juga akan terima,” kata Syamsul.

Meskipun hak penjagaan anak-anak diberikan kepada ibu, Sarah memberitahu tidak menetapkan sebarang syarat untuk Syamsul bertemu dengan Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

“Tiada had, Syamsul boleh datang bila-bila masa saja. Kalau dia nak datang meluangkan masa dengan anak-anak, boleh saja.

“Meskipun hak penjagaan pada saya, dia boleh nak datang bila-bila masa saja. Dia wajib datang ke majlis berkaitan anak seperti hari sukan, hari lahir dan hari graduasi,” ujarnya.

Tambah Sarah, dia berharap hubungan baik antara dia dan Syamsul dapat dikekalkan demi kebaikan anak-anak.

“Saya berharap semoga selepas ni tiada persengketaan dan kami berbaik seperti biasa, seperti yang kami sudah janjikan.

“Hari Raya pun macam biasa, kami akan sambut dengan keluarga. Dengan keluarga mentua pun masih baik, saya masih pergi ke rumah mereka dan tidur di sana,” jelasnya.

Terdahulu, Syamsul melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas pada jam 12.25 tengahari selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat Salam Cium Tangan Buat Kali Terakhir, Syamsul Yusof Cerai Puteri Sarah Talak 1

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Maya Basir