Categories: HiburanTrending

“Kalau Ada Bisikan, Saya Cepat-Cepat Ingat Isteri & Anak-Anak” – Aeril Zafrel Tak Pernah Terfikir Curangi Wawa Zainal

Pelakon dan usahawan selebriti, Aeril Zafrel tak pernah terlintas untuk curang terhadap isterinya, Wawa Zainal.

Tidak terdetik membuka ruang kepada wanita lain untuk hadir dalam hidupnya, Aeril bersyukur kehadiran Wawa dan anak-anak melengkapi hidupnya.

“Wawa melengkapi hidup saya. Dia sempurna di mata saya dan saya beruntung mempunyai isteri secantik dia. Wawa seorang ibu berkerjaya yang mampu mendidik anak-anak, biar sesibuk mana pun dengan kerja.

“Sejujurnya, ketenangan dan kebahagiaan yang kami miliki ini tidak mungkin saya gadaikan hanya disebabkan keseronokan sementara. Saya memang tak pernah terniat curang. Kalau ada bisikan, saya cepat-cepat ingat isteri dan anak-anak,” katanya kepada XTRA.

Percaya terhadap kifarah, Aeril tak mahu melupakan susah senang yang dilalui bersama Wawa dan sentiasa mengingatkan diri agar menjadi ketua keluarga yang baik buat anak dan isteri.

“Wawa setia dengan saya, selama 12 tahun berkahwin kami lalui susah senang bersama. Sudah tentu saya selalu ingatkan diri supaya jangan buat hal, nanti kena kifarah.

“Kalau sekali terkhilaf, memang susah dapatkan kepercayaan kembali, belum lagi dapat kifarah. Jadi elakkan ‘nakal’ atau merosakkan kepercayaan yang ada,” ujarnya.

Aeril dan Wawa ditemui XTRA pada majlis rumah terbuka Wawa Cosmetics di Bangi, baru-baru ini.

Istimewanya, rumah terbuka yang diadakan di premis niaganya itu dihadiri oleh lebih 500 tetamu terdiri daripada kenalan, rakan niaga dan pekerja Wawa Cosmetics.

Turut hadir ke rumah terbuka mereka adalah rakan selebriti, Abby Abadi, Azza Elite, Fasha Sandha dan Aidil Aziz.

Padin