‘Kalau Ada Peluang, Saya Nak’ – Imuda Rindu Nak Masuk Set Pi Mai Pi Mai Tang Tu

Pelakon dan pelawak Imuda mengakui rindu untuk masuk ke set penggambaran sitkom komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Imuda ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem XX Ray III memberitahu dia juga tidak keberatan untuk menerima tawaran seandainya sitkom popular itu dihasilkan dalam nafas baharu.

“ Kalau kita tengok sitkom Spanar Jaya kembali ke ditayangkan dengan gandingan barisan pelakon lama dan baharu. Saya terfikir kalau ada peluang untuk para pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, syok juga.

“ Selain saya, para pelakon seperti Sabri Yunus, Mat Over, Khatijah Tan, Angeline Tan masih ada dan jika sitkom ini dihasilkan dengan idea lebih segar, ia akan menjadi sebuah projek yang dinanti-nanti,” katanya kepada XTRA.

Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu pernah melonjakkan nama watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Deris, Mat Over dan Ravi sekitar tahun 80 an.

Sementara itu, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda memaklumkan dia masih aktif dalam bidang lakonan meskipun tawaran tidak serancak dahulu.

“ Syukur Alhamdulillah pada usia 59 tahun, saya masih mendapat tawaran berlakon. Tahun ini saya bakal muncul dengan sebuah sitkom komedi dan filem arahan Mamat Khalid berjudul, Manap Karaoke.

“ Penggambaran untuk dua projek ini sudah selesai dan hanya menunggu tarikh tayangan. Kepada yang rindu nak tengok lakonan saya, kena tengok okay,” katanya.

Dalam masa sama, Imuda yang berusia 59 tahun ini masih aktif melukis dan penjualan karyanya giat dilakukan menerusi online.

SGMS Faida