Categories: familuv

7 peraturan keselamatan di dapur yang kanak-kanak perlu patuhi

Pada zaman sekarang, bukan dikira pelik jika ada kanak-kanak yang menunjukkan minat dalam bidang masakan.

Pernahkan anda menonton rancangan pertandingan memasak seperti MasterChef Junior atau Top Chef Jr? Pertandingan itu mencuri perhatian ramai kerana menampilkan peserta cilik yang kemahiran mereka ada yang mengalahkan orang yang lebih dewasa!

Jika anak anda sendiri berminat, aktiviti ini dapat mengasah pelbagai kemahiran penting dalam dirinya seperti membaca, mengikuti arahan dan menyukat.

Pengalaman itu juga akan membantunya membina disiplin diri, kemahiran motor halus, koordinasi tangan dan mata, serta memahami konsep awal dalam matematik dan sains.

Namun begitu, perkara paling penting yang dia perlu ingat adalah keselamatan ketika beraksi di dapur. Mungkin ada peralatan yang merbahaya jika dia tidak berjaga-jaga.

Itu sebabnya anda sebagai ibu atau bapa wajar mengajar si kecil peraturan keselamatan yang perlu di patuhi. Lebih baik jika anda berdua sama-sama menetapkan peraturan ini, supaya dia akan lebih ingat dan patuh kepada arahan itu.

Memasak memanglah menyeronokkan, tapi jika boleh menyebabkan kecederaan, apa gunanya? Untuk itu, ketahui apa peraturan yang perlu anak anda pelajari.

FOto: The Book Tree

1. Minta izin orang dewasa sebelum mula memasak di dapur

Peraturan ini mungkin nampak ketara, tapi apabila anak anda dah mula biasa berdikari di dapur, ada potensi untuk dia lupa.

Kadangkala anak anda mungkin ingin membuat kejutan dengan memasak sesuatu hidangan dengan sendiri. Boleh saja, tetapi seorang dewasa masih perlu berada di situ.

2. Cuci tangan

Tangan kecil selalunya membawa kuman yang banyak. Tangan yang bersih adalah penting bagi keselamatan dalam makanan, dan patut menjadi langkah pertama sebelum dia memegang sebarang bahan ramuan atau peralatan.

Cuba ingatkan dia apa yang dia pegang sebelum itu dan tanya jika dia inginkan kuman dari benda itu di dalam masakannya.

3. Bersihkan dapur sambil memasak

Jika anda bersihkan sebarang kekotoran atau tumpahan, anda dapat elakkan diri daripada tergelincir dan akhirnya jatuh. Tambahan pula, lagi senang jika dapur anda memang sudah bersih apabila siap memasak.

Foto: Thinkstock

4. Gunakan pemegang periuk atau tuala untuk mengangkat peralatan yang panas

Menangani pinggan, periuk atau peralatan yang panas boleh menyebabkan lecur. Ada potensi untuk benda itu terlepas dari tangan lalu jatuh ke lantai.

Beli pemegang periuk yang anak anda suka supaya dia rasa seronok untuk menggunakannya.

5. Berlatih menggunakan pisau dengan selamat

Anak anda boleh mula dengan pisau plastik yang anda dapat ketika membungkus makanan daripada restoran. Kemudian bila dia sudah besar sedikit, dia boleh mula belajar menggunakan pisau plastik yang sesuai untuk kanak-kanak. Jika anda rasa dia sudah cukup mahir, perkenalkan dia dengan pisau biasa.

Lebih selamat jika anda mengajar cara penggunaan pisau yang betul, daripada anda menghalangnya menggunakan pisau.

 

Foto: Pathways.org

6. Tanya sebelum jilat

Kanak-kanak biasanya suka menjilat apa saja – pinggan, sudu, jari dan sebagainya. Untuk memastikan anak anda tidak termakan ramuan mentah yang boleh membuatnya jatuh sakit, ingatkan dia supaya tanya dahulu.

7. Dengar, dengar, dengar!

Ini sepatutnya menjadi peraturan pertama, kedua dan ketiga yang dia patut belajar. Aktiviti memasak dengan anak adalah cara baik untuk mengasah kemahiran mendengar dan belajar mengikut arahan.

Kadangkala dia terlalu teruja untuk mula memasak hingga dia lupa untuk mendengar kata. Langkah ini adalah penting supaya tiada kecederaan yang berlaku.

Sumber: Super Healthy Kids

Ad Ops