Timang Cahaya Mata Ketujuh, Sheikh Muszaphar Dedah Anak-Anak Beri Cadangan Nama! Akhirnya Pilih Untuk…

Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan isteri, Datin Dr Halina Mohd Yunos selamat melahirkan cahaya mata ketujuh, pada Rabu.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, bayi lelaki dilahirkan seberatkan 2.98 kilogram di sebuah hospital di Damansara, Selangor.

Menurut Sheikh Muszaphar, dia bersyukur proses kelahiran berjalan dengan lancar dan isteri serta bayi berada dalam keadaan yang sihat.

“Ibu dan bayi dalam keadaan baik, minum susu badan. Alhamdulillah syukur sangat. Terima kasih semua atas doanya,” katanya.

Mengulas tentang pemilihan nama anak yang ketujuh, pelbagai permintaan nama daripada anak-anak lain namun nama sudah dipilih olehnya.

“Nama sudah dipilih, demi cinta kepada nabi terakhir kita. Tapi anak-anak mahukan nama lain. Noah nak Ibrahim, Tasha nak Isaac. Adam nak Adam Junior, manakala Eusoff dan Emelia tidak kisah. Hanya Bella saja setuju dengan nama tu.

“Setiap mereka ada pendapat berbeza. Mari kita panggil dia ‘little’ Sheikh buat masa ini anak-anak,” katanya.

Terkini, Sheikh Muszaphar berkongsi nama anak ketujuh iaitu Muhammad serta isteri dan anak dibenarkan pulang ke rumah hari ini melalui perkongsiannya di Instagram.

Untuk rekod, pasangan ini sebelumnya dikurniakan enam anak iaitu Sophea Isabella, Sophea Natasha, kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah serta kembar perempuan dan lelaki, Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia.

Maya Basir