Kandungan Baru Berusia 5 Bulan Setengah, Anak Pertama Raja Nazrin Shah (Vokalis SOG) Terpaksa Digugurkan Gara-Gara…

Isteri kepada vokalis kumpulan Sekumpulan Orang Gila, Raja Nazrin Shah iaitu Resya Rahman berkongsi berita duka apabila bayi yang dikandungnya selama lima bulan setengah terpaksa digugurkan.

Menerusi ciapannya di Twitter, bayinya itu menderita komplikasi yang tak dapat dielakkan dan disahkan oleh doktor bahawa anak mereka tidak dapat bertahan hidup.

“Daripada gembira kepada duka, daripada tangisan gembira kepada tangisan kesakitan, dari hari pertama ke hari terakhir. Kami sangat beruntung diberi rasa bahagia apabila dapat melihat jari-jari kecil dalam gambar ‘ultrasound’.

“Kami berdoa siang dan malam memohon kepada Allah untuk menjadikan kami manusia yang lebih baik supaya kami boleh jadi ibu bapa yang baik buat anak pertama kami. Tanpa kami ketahui, Allah ada perancangan lain untuk kami,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka bahawa pemeriksaan biasa bertukar kepada berita sedih.

Malah, mereka telah merujuk kepada beberapa doktor yang lain untuk mengesahkan berita tersebut.

“Pada dua minggu lalu, kami diuji dengan ujian yang sangat berat. Kami pergi membuat pemeriksaan biasa dan hendak meraikan jantina anak kami, sebaliknya kami diberitahu bayi kami menderita komplikasi yang tidak dapat dielakkan.

“Selepas melalui beberapa doktor dengan harapan berita itu tidak benar, malangnya, mereka semua mengesahkan bayi kami tidak dapat bertahan hidup,” jelasnya.

Namun, mereka bersyukur tetap diberi peluang untuk menjadi ibu bapa dan redha dengan ketentuan Allah ini.

“Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan kesakitan yang kami rasakan dan lalui. Kekuatan antara kami berdua yang membuatkan kami bertahan.

“Bayi kami adalah yang terpilih dan kami bersyukur dapat mengandungkan anak syurga selama lima bulan setengah. Kami redha dan percaya perancangan Allah adalah yang terbaik.

“Hari ini adalah hari dimana kami terakhir kali melihat bayi kami dan mengucapkan selamat tinggal. Disebalik kesedihan ini, kami tetap bersyukur diberi peluang menjadi ibu bapa kepada bayi lelaki kami, Raja Emir Khalid, walaupun dia baru berusia lima bulan setengah dalam rahim Mommy,” ujarnya.

Maya Basir