“Kalau Ada Rezeki Tak Ke Mana” – Anna Jobling Akan Berhijrah Ke Indonesia?

Pelakon Anna Jobling, 22, tidak tidak menolak untuk berhijrah ke Indonesia jika mendapat tawaran untuk meluaskan kerjaya seninya.

Anna atau nama sebenarnya, Anna Elissa Gustin Jobling Abdul Rahman bersyukur semakin dikenali peminat Malaysia dan Indonesia selepas kemunculan drama bersiri Melur Untuk Firdaus.

“Pindah sana untuk kerja, ya tetapi untuk menetap selama-lamanya di Indonesia, mungkin tidak.

“Insya-Allah,saya pun tak tahu rezeki yang akan diberikan Tuhan, kalau ada rezeki tak ke mana, kemungkinan untuk saya menetap dan bekerja di sana itu ada.

“pastinya akan kerap pulang ke tanah air memandangkan keluarga semua di Malaysia. Sebelum ini saya pulang ke England pun, rasa tak sabar nak pulang ke tanah air,” ujarnya.

Berkongsi tentang kunjungannya ke Indonesia baru-baru ini, Anna memberitahu kehadirannyadi negara jiran adalah untuk berbincang mengenai beberapa tawaran selain mengintai peluang untuk melebarkan sayapnya di sana.

“Ya, selain memenuhi jemputan stesen televisyen, kami juga ada berbincang untuk beberapa projek akan datang.

“Ibaratnya kami ke sana seperti ‘test water’ (menilai situasi sebelum memulakan langkah seterusnya),” jelas Anna.

Disoal mengenai sambutan yang diberikan peminat Indonesia ketika berkunjung ke sana, Anna meluahkan rasa teruja berkongsikan momen tersebut.

“Semua orang ‘gila’ tetapi dalam cara yang sangat baik.

“Mereka menerima kehadiran dan melayan kami dengan mesra.

“Paling istimewa apabila menerima ratusan hadiah. Antaranya ada yang menanam ratusan pokok di bawah nama saya,”ujarnya.

Anna ditemui selepas sidang media Teater Maduku Terpaling Kalut di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

Teater Maduku Terpaling Kalut akan dipentaskan pada 29, 30 September, 1 dan 2 Oktober 2022 bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) bakal membariskan pelakon seperti Azrel Ismail, Puteri Sarah, Anna Jobling, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow.

Khairil Khusyairi