Enggan Ulas Isu Artis Buka Tudung, Zizi Kirana Akui Kekal Istiqamah Satu Cabaran

Sudah menjadi satu norma dalam industri hiburan kebelakangan ini, apabila dikejutkan dengan berita selebriti wanita kembali tidak berhijab selepas sekian lama memakai tudung.

Menyedari perkara itu, penyanyi Zizi Kirana mengambil pendekatan untuk tidak mengulas, sebaliknya bersimpati dengan perkara tersebut.

Menurut Zizi, dia mengakui untuk kekal istiqamah adalah satu cabaran, malah dirinya juga mengambil masa untuk berhijrah sepenuhnya secara perlahan-lahan, sebelum ini.

“Sejujurnya, paling sukar untuk kekal istiqamah selepas bertudung. Disebabkan itu, saya mengelak untuk berbicara soal berhijab walaupun ramai bertanya mengenainya sejak awal lagi.

“Saya sendiri tidak melakukannya secara drastik, tetapi perlahan-lahan memakai hijab ketika Ramadan, sebelum membuat keputusan berhijrah sepenuhnya.

“Saya tak mahu melakukan sesuatu dengan cara mengejut. Paling penting, biarlah keputusan berhijrah dibuat atas kerelaan, bukannya desakan sesiapa.

“Mengenai tindakan segelintir artis membuka tudung, saya akui kasihan dengan mereka. Nak ulas panjang lebar pun kita tidak berada di tempat mereka dan tak tahu apa dugaan dilalui hingga terpaksa membuat keputusan seberat ini,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, Zizi juga meminta masyarakat untuk tidak memberi tekanan, sebaliknya terus memanjatkan doa pintu hati mereka dibuka semula untuk berhijab.

Selain itu, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 37, juga menyatakan dirinya kini lebih teliti dari segi imej dan pemakaian demi menjaga batas sebagai seorang isteri.

“Apabila keluar rumah, saya perlu jaga maruah suami dan keluarga. Justeru, soal penampilan amat dititikberatkan setiap kali keluar rumah atau nak buat persembahan.

“Saya kena tengok apakah tudung dan pakaian bersesuaian ketika mengadakan persembahan. Alhamdulillah, saya sangat selesa dengan penampilan baru, tiada pula rasa rindu dengan imej lama,” jelasnya.

 

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain