Dituduh Sokong Tindakan Pereka Behati, Aina Abdul Akui Tertekan Terima Kecaman Netizen – “Saya Fikir Ia Perkara Kecil”

Terkenal dengan busana ‘pelik’, penyanyi Aina Abdul mendedahkan bahawa dia berasa tertekan selepas membaca komen negatif mengenai pakaian yang dikenakan ketika menghadiri Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang telah berlangsung pada Ogos lalu.

Pelantun Sumpah itu turut berkongsi bahawa dia menerima kecaman teruk daripada wargamaya selepas dituduh menyokong tindakan pereka fesyen, Kel Wen yang mengenakan busana separuh bogel dengan sampin dan songkok.

Memetik laporan Gempak, Aina dikatakan amat takut untuk membuka telefon gara-gara hampir setiap hari menerima kecaman yang teruk.

“Sebenarnya semenjak saya muncul memakai baju busana Behati hari itu saya tiada bagi sebarang komen kerana amat takut hendak membuka telefon… sebab hampir setiap hari saya terima komen negatif dan kecaman yang teruk.

“Kadang-kadang ia datang dari dua pihak iaitu satu yang mengata baju Aina dan satu pihak lagi yang mengecam akan tindakan saya komen tanda suka di Instagram Kel Wen dari foto baju yang mendapat kecaman ramai,” ujar Aina.

Oleh itu, Aina menjelaskan bahawa dia hanya menyokong hasil karya rakan-rakannya dan dia menyukai dengan baju yang direka khas untuknya bukan kerana mahu mencipta kontroversi.

“Niat saya hanya untuk menyokong kawan-kawan bekarya. Saya nafi saya pakai busana itu untuk tular kerana sejujurnya saya suka akan baju yang direka untuk saya itu,” jelasnya kepada Gempak.

Bukan sahaja menerima kecaman, Aina turut dipersoalkan tentang status agamanya oleh segelintir wargamaya.

“Saya fikir ia perkara kecil tapi ramai pula yang mengecam komen Aina di dalam IG Kel. Saya tak sangka perkara itu dianggap sebagai isu sensitif ibarat macam saya menyokong apa yang Kel buat masa itu.

“Orang terlalu marah sehingga mempersoalkan agama dan kepercayaan saya. Mereka tuduh dan cakap saya takt ahu agama dan sebagainya. Ia benar-benar menyedihkan saya,” katanya lagi.

Walaubagaimanapun, Aina memohon maaf kepada wargamaya yang menganggap dirinya keterlaluan dalam berfesyen.

Terdahulu, busana berwarna hitam yang dipakai Aina ketika KLFW menerima kritikan pedas dan disamakan dengan ‘plastik sampah’ oleh wargamaya.

Sumber: Gempak

Atiqah Johari