“Kalau Boleh Atas Katil Pun Nak Tunjuk” – Kongsi Kebahagiaan Sampai Leka Dengan Pujian Manusia, Rita Rudaini Beri Pesanan

Pelakon Rita Rudaini menyatakan rasa kurang selesa dengan cara sesetengah orang yang suka menunjukkan kebahagiaan mereka di media sosial.

Menerusi hantarannya di Instastory, kebahagiaan yang ditunjukkan hanya dijadikan bahan konten dan untuk meraih pujian manusia semata-semata.

Malah, niat yang pada asalnya baik turut berubah demi mengejar populariti.

“Zaman sekarang, semua benda nak tunjuk. Kalau boleh atas katil pun nak tunjuk. Kita yang paling bahagia, kita yang paling suami sayang. Semua benda nak rekod dan jadikan konten.

“Kadang-kadang niat kita tu hanya nak bagi inspirasi kat orang tapi lama-lama dah seronok dengan puji-pujian manusia, hati kita rasa ‘nak’ lagi dan lagi dan lagi.

“Sampai niat yang asal tu dah terpesong jadi riak, bangga, sombong dan suka menunjuk-nunjuk.

“Bila tiba-tiba Allah jentik ujian, apa lagi kita nak tunjuk? Konten pun dah sepi, sunyi yang ada hanya tengah struggle melayan rasa sakit yang tak tertanggung,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal kepada dua orang anak ini berpesan supaya bersederhana dalam berkongsi kehidupan di media sosial.

“Jadi, berpada-padalah. Sampai bila nak hidup bahagia dengan bergantung atas pujian manusia? Kalau tak menunjuk pun kita boleh bahagia kan?

“Semua tu atas pilihan sendiri. Nak bahagia tipu-tipu atau nak bahagia dalam tenang. Pesan untuk diri sis sendiri,” ujarnya.

Maya Basir