“Kalau Rasa Tak Sesuai, Jangan Tengok” – Amelia Henderson Jawab Isu Adegan Panas Dalam Filem Pulau

Pelakon Amelia Henderson tidak lepas dari terkena tempias kontroversi membabitkan adegan panas yang terdapat dalam filem Pulau.

Menurut Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28,  sama seperti pelakon dan penyanyi, Aliff Satar, dia juga tidak terbabit dengan babak kontroversi itu.

“Orang kena tengok movie tu dulu dan tengok karakter saya dalam filem tu macam mana.

“Tapi kalau dah tengok dan rasa tak sesuai, jangan tengok,” katanya.

 

Ketika ditanya sama ada dia mengetahui atau tidak mengenai babak ‘panas’ dalam filem tersebut, Amelia berkata, dia hanya memberikan  fokus terhadap lakonan dan watak yang dibawakannya dalam filem berkenaan.

“Saya fokus pada watak dan jalan cerita watak saya sahaja.

“Saya ambil tahu mengenai watak  saya saja supaya saya boleh menjiwai watak saya sepenuhnya dengan cara yang betul,” jelasnya.

Sebelum ini, penerbitnya Fred Chong menyangkal dakwaan ‘menjual’ adegan panas dalam naskhah itu demi menarik penonton, malah pihaknya juga tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Terdahulu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan,  tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.
Ini kerana, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).
Salma Syahbuddin