“Kalau Saya Layan, Apa Beza Level Saya Dengan Dia?” – Adam Shahz Enggan Layan Dakwaan Disindir Suami Fatin Afeefa

Sebelum ini, tular video yang dimuat naik oleh suami kepada pelakon Fatin Afeefa, Aliff Awang yang dikatakan menyindir pelakon Adam Shahz ketika dia hadir ke mahkamah bagi perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak pada Januari lalu.

Menerusi perkongsian video itu, Aliff menunjukkan petikan pendek yang tergantung di dinding ketika mereka sedang berada di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut Adam, dia hanya menyedari perkara tersebut selepas pulang dari mahkamah dan tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang video itu kerana dia tidak terasa hati.

“Jujur saya katakan, pada awalnya saya langsung tak tahu mengenai video yang kononnya dia perli saya itu, sehingga saya keluar daripada kawasan Mahkamah.

“Selepas keluar kawasan Mahkamah, telefon saya terima banyak notifikasi dan saya pun berhenti tepi jalan, buka telefon baru saya tahu tentang kewujudan video tu.

“Pada saya tiada isu pun mengenai video tersebut. Sebab saya langsung tiada terasa hati sekali pun.

“Walaupun daripada sudut pandangan orang lain yang melihat video itu seakan ditujukan kepada saya, namun saya menganggap itu tiada kena mengena dengan saya,” katanya.

Adam ditemui semasa malam gala tayangan filem lakonan terbarunya berjudul Sumpahan Syaitan yang berlangsung di Pavillion, Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, dia tidak mahu memberi perhatian kepada perkara yang tidak mendatangkan faedah dan hanya mengeruhkan keadaan sekiranya dia mengambil tindakan.

“Kalau saya layan apa beza level saya dengan dia? Sebab bukan level saya nak layan perkara-perkara sebegitu. Saya lebih matang dan bersikap profesional.

“Andai kata saya ambil sebarang tindakan untuk balas apa yang dia buat, ia akan menjadikan isu ni lebih rumit.

“Saya pula memang langsung tak pernah jumpa atau berkomunikasi dengan dia,” jelasnya.

Untuk rekod, Adam dan Fatin hadir ke Mahkamah pada Januari lalu bagi perbicaraan tuntutan hak penjagaan anak perempuan mereka, Ivy Herra Sophia.

Maya Basir