Categories: HiburanTrending

“Kali Terakhir Berlakon Pada 2019” – Ayda Jebat Bersyukur Rezeki Mencurah Selepas Lahirkan Cahaya Mata

Pelakon dan penyanyi, Ayda Jebat meluahkan rasa rindu untuk melangkah ke set penggambaran.

Meskipun menerima banyak tawaran lakonan, pelantun lagu Pencuri Hati ini masih selesa untuk menumpukan perhatian terhadap anak sulungnya, Ana Nayla.

“Rasa rindu pasti ada. Berlakon memang minat saya tetapi buat masa ini, saya memberi fokus terhadap anak dan kerjaya seni lain. Kali terakhir saya masuk ke set penggambaran pada 2019 dan sehingga kini, saya masih belum terima mana-mana tawaran.

“Selepas bersalin, saya risau dengan keadaan semasa, lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia dilanda pandemik. Buat masa ini saya selesa menumpukan fokus terhadap anak dan kerjaya seni lain seperti nyanyian dan duta kepada beberapa jenama.

“Mungkin saya akan menerima tawaran telefilem yang tidak memerlukan komitmen lama tetapi untuk drama bersiri, itu belum lagi. Tapi, saya bakal muncul dengan lagu baharu dan berharap buah tangan saya ini akan mengubati kerinduan peminat,” katanya.

Ayda ditemui di majlis pembukaan kedai barangan bayi Chicco dan pelancaran kereta sorong bayi One4Ever di Chicco IOI City Mall Putrajaya pada Sabtu.

Isteri kepada pengacara Nabil Mahir ini juga bersyukur rezekinya semakin mencurah selepas kehadiran Ana Nayla.

“Alhamdulillah, biarpun dah lama tak berlakon, saya sangat bersyukur, selepas bersalin rezeki semakin mencurah. Benarlah orang katakan anak pembawa rezeki.

“Saya menjadi duta kepada beberapa jenama. Ada juga jenama yang dah lama dengan saya dan mereka memperbaharui kontrak kerana mereka senang bekerjasama dengan saya.

“Seperti acara kali ini, saya menjadi teman selebriti VIP untuk jenama Chicco yang memang saya gunakan semenjak anak saya lahir. Saya juga teruja dengan pelancaran kereta sorong bayi One4Ever kerana ia sangat praktikal dan boleh digunakan sehingga umur anak saya empat tahun dan maksimum berat 22 kilogram,” katanya lagi.

Padin